Sri Lanka masih dalam keadaan rapuh – PBB

NEW DELHI, India – Seorang pegawai kanan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan keadaan semasa Sri Lanka sebagai masih ‘rapuh’.

Sehubungan itu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Nada Al Nashif, menggesa kerajaan menggalakkan perdamaian nasional ketika negara itu cuba mengatasi krisis kewangannya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan pemimpin dan individu yang menyertai protes menggulingkan pentadbiran terdahulu sejak beberapa minggu kebelakangan ini.



“Pertukaran kerajaan Sri Lanka pada Julai lalu dicapai dengan ‘cara yang disifatkan sebahagian besarnya aman dan berdasarkan Perlembagaan.

“Bagaimanapun, arena politik kekal rapuh dan keadaan ekonomi tidak stabil,” katanya kepada Majlis Hak Asasi Manusia Sesi ke-51 di Geneva semalam.

Kerajaan baharu Sri Lanka harus ‘merebut peluang yang ditawarkan bagi mengubah keadaan’ dan menggalakkan perdamaian nasional, kata Nashif.

Beliau menegaskan bahawa sejak berakhirnya perang saudara di Sri Lanka 13 tahun lalu, puluhan ribu mangsa yang terselamat dan keluarga mereka terus mencari keadilan dan cuba menjejaki lokasi orang yang mereka sayangi.



“Ketiadaan hukuman kekal sebagai penghalang utama kepada kedaulatan undang-undang, perdamaian, keamanan dan pembangunan mampan di Sri Lanka.

“Oleh kerana mereka yang bersalah tidak dihukum, mereka terus melakukan pelanggaran hak asasi manusia, mewujudkan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa, di samping menyumbang kepada krisis ekonomi sekarang,” kata Nashif.

Tambah beliau, inflasi di negara itu kini berada pada tahap 66.7 peratus dan dianggarkan 6.3 juta orang mengalami krisis makanan.

Sementara itu, Menteri Luar Sri Lanka, Ali Sabry, ketika berucap pada majlis di Geneva, berkata kerajaan peka terhadap kesusahan sosio-ekonomi yang dihadapi rakyat dan sudah memulakan langkah memastikan kesejahteraan mereka, menurut satu kenyataan PBB.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button