Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dikejarkan ke hospital

KUALA TERENGGANU – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, selepas mengalami masalah pernafasan, hari ini.

Difahamkan, beliau sempat menyertai Program Merdeka Parlimen Kuala Terengganu 2022 ‘Kabak Bukit Besar’, di sini, pada 9 pagi tadi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu dibawa menaiki ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas pada program berkenaan dengan ditemani anak lelakinya.



Sebelum diusung dan dibawa masuk ke ambulans, Ahmad Amzad dilihat dalam keadaan stabil dan mampu menggerakkan kaki dan tangan, namun dilihat kurang bermaya.

Terdahulu, Ahmad Amzad yang tiba di lokasi kelihatan bersemangat untuk sampai ke puncak bukit berkenaan yang berketinggian 156 meter dari aras laut sebelum bergerak bersama peserta selepas melakukan pelepasan peserta yang berkumpul di kawasan berkenaan seawal jam 7 pagi.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Saharrudin Mohamed.

Sementara itu, Saharrudin berkata, susulan kejadian terbabit, pihaknya bercadang untuk membatalkan program berkenaan.



“Sepatutnya selepas selesai memanjat bukit, Datuk (Ahmad Amzad) akan melakukan perasmian disusuli dengan acara cabutan bertuah.

“Bagaimanapun, dengan apa yang berlaku kepada Datuk (Ahmad Amzad), kita terpaksa membatalkan program perasmian ini dan meneruskan dengan acara cabutan bertuah,” katanya.

Katanya, pihaknya mendoakan agar kesihatan Ahmad Amzad berada dalam keadaan baik.

© Harian Metro 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button