UMNO mahu kerusi ditandingi oleh wakil rakyat yang melompat parti



KUALA LUMPUR – Agihan kerusi Parlimen yang disandang beberapa wakil rakyat yang melompat parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), adalah antara faktor mengapa UMNO enggan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata PN mencadangkan kerusi yang menjadi pertikaian antara UMNO dan BERSATU diserahkan kepada parti yang menjadi ‘penyandang’ kerusi itu.

Bagaimanapun, katanya, UMNO tidak dapat menerima strategi itu apabila PN menuntut supaya UMNO ‘menghormati’ wakil rakyat yang melompat parti sebagai penyandang kerusi Parlimen.

“UMNO mahu kerusi yang dimenangi kami tetapi kemudian penyandangnya melompat ke BERSATU, sebab yang menang di situ adalah atas tiket UMNO. Jadi sebenarnya penyandang di situ ialah UMNO/Barisan Nasional (BN).



“Antara banyak sebab kenapa kami tak berpakat dengan PN ialah perkara ini, kerana tuntutan PN itu merangkumi bahawa sesiapa yang melompat harus dihormati sebagai penyandang dan tidak diganggu.

“UMNO tak boleh terima kerana calon itu menang atas tiket dan titik peluh UMNO keseluruhannya, bukan tubuh badan individu semata-mata,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu temu bual baru-baru ini, yang menjelaskan mengenai strategi rundingan kerusi yang dicadangkan dalam kerjasama PAS, UMNO dan BERSATU.

Tuan Ibrahim berkata, PAS mencadangkan supaya kerusi yang menjadi pertikaian dikekalkan kepada penyandang ketika ini, tanpa mengambil kira mereka bertanding mewakili parti mana ketika PRU-14.



Mengambil contoh kerusi Parlimen Jeli yang disandang Datuk Seri Mustapa Mohamed daripada BERSATU, Tuan Ibrahim memaklumkan kerusi itu perlu dikekalkan kepada BERSATU walaupun Mustapa memenanginya atas tiket UMNO pada PRU-14.

Shahril mempersoalkan mengapa formula dicadangkan Tuan Ibrahim itu tidak digunakan pada PRU-14, apabila PAS turut bertanding merebut beberapa kerusi yang asalnya dimiliki parti itu dalam PRU-13, namun bertukar tangan selepas wakil rakyat mereka keluar PAS dan menganggotai AMANAH.

“Pada PRU-13, Datuk Mahfuz Omar menang di Pokok Sena atas tiket PAS. Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menang di Parit Buntar atas tiket PAS. Sama juga Khalid Samad (Shah Alam) dan Mohamed Hanipa Maidin (Sepang).

“Pada 2015 mereka keluar parti, masuk AMANAH, lalu ‘dilanggar’ juga oleh PAS ketika PRU-14 di tempat sama. Tiada siapa tuduh PAS penting diri atau penting kuasa, atau cuba memaksa PAS beri laluan demi ‘kemaslahatan’ lebih besar dan sebagainya,” katanya.



Mengulas saranan Tuan Ibrahim supaya UMNO melihat kerjasama dengan PAS dan BERSATU dalam kerangka lebih besar, Shahril berkata, secara amnya, kerangka besar juga turut merangkumi pelbagai parti lain selain UMNO, PAS dan BERSATU.

Namun, katanya, PAS tidak pula bercakap mahu bekerjasama dengan parti serpihan PAS, AMANAH dalam pilihan raya.

“Mereka (AMANAH) juga ada peranan dalam kerangka besar itu, samalah kami tak akan bercakap kerjasama dengan BERSATU,” katanya.

© Berita Harian





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker