Najib failkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan hari ni

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, akan memfailkan petisyen rayuan untuk mengetepikan sabitan dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Ini susulan keputusan sebulat suara oleh panel tiga hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, yang membenarkan permohonan Najib untuk lanjutan masa selewat-lewatnya hari ini untuk memfailkan petisyen rayuan tersebut.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, selepas permohonan itu didengar secara dalam talian .



“Bagi permohonan (oleh Najib) untuk lanjutan masa memfailkan petisyen rayuan hari ini, keputusan sebulat suara (diberi) oleh Mahkamah Persekutuan untuk memberikan lanjutan itu mulai 11 April.

“Pemohon (Najib) akan memfailkan petisyen rayuan untuk rayuan utama kes (sabitan) SRC selewat-lewatnya hari ini,” kata Mohd Ashrof kepada pemberita selepas pendengaran permohonan tersebut.

Pada 11 April lepas, Ahli Parlimen Pekan itu melalui Tetuan Shafee & Co memohon lanjutan masa selewat-lewatnya pada 25 April untuk memfailkan petisyen rayuan.

Berdasarkan afidavit sokongannya, Najib berkata alasan penghakiman yang disediakan oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan mengandungi 176 jilid keseluruhannya dan pihak pembelaan menerimanya pada 31 Mac lepas.



“Adalah mustahil untuk pasukan pembelaan saya meneliti semua rekod rayuan dan menyediakan petisyen rayuan yang lengkap dalam masa yang singkat bagi menangani segala isu yang telah dibangkitkan oleh Hakim-hakim Mahkamah Rayuan.

“Alasan penghakiman itu perlu diteliti dengan memeriksa nota prosiding pada kedua-dua peringkat prosiding bagi memastikan ketepatan dalam dapatan fakta, inferens yang dibuat dan undang-undang yang terpakai,” kata Najib.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Najib kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker