`Raja Muda kerajaan jin Bukit Bauk’ muncul semula

Oleh – Syeikh Baran


`Raja Muda kerajaan jin Bukit Bauk’ muncul semula
KEADAAN sebuah surau yang disalah guna seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai Raja Muda kerajaan jin Bukit Bauk di Hutan Rimba Bukit Bauk, Dungun. – UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

Seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai Raja Muda yang ditabalkan kerajaan jin Bukit Bauk muncul semula di kawasan rekreasi Hutan Rimba Bukit Bauk, dekat sini.

Individu berusia 37 tahun itu pernah beberapa kali ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu pada 2019 dan 2020 selepas melakukan amalan aneh dan bercanggah dengan ajaran Islam. 

Tinjauan di sekitar kawasan rekreasi itu mendapati individu itu kembali menjadikan surau di kawasan rekreasi itu sebagai istana dan turut meletakkan batu nisan di hadapan surau tersebut.

Selain itu, beberapa tingkap surau itu turut ditutup dengan kain dan turut ditemui beberapa batang lilin di dalam surau itu. 

Seorang pengunjung, Anas Ibrahim, 34, berkata, perbuatan aneh individu itu menyebabkan orang ramai tidak menggunakan surau itu untuk menunaikan solat. 

“Apa yang dibimbangkan, kita takut lelaki itu ada pengikut dan kegiatan mereka kembali aktif. Perbuatan ini juga dikhuatiri boleh merosakkan akidah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi pengunjung, Azma Ismail, 32, berkata, dia berharap pihak berwajib mengambil peranan dengan menghidupkan semula surau itu supaya dapat digunakan pengunjung. 

“Minggu lepas, saya terkejut juga bila tengok surau tersebut bertukar wajah. Sebelum ini saya pernah guna surau itu untuk solat sebelum berekreasi di kawasan ini.

“Mungkin pihak berkuasa boleh meletakkan seorang pekerja bagi menjaga dan membersihkan kawasan surau ini,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Daerah dan Tanah Dungun, Jusman Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perhutanan bagi mengelak surau itu kembali disalah guna dengan aktiviti bertentangan dengan ajaran Islam. 

Menurutnya, individu tersebut telah ditahan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah pada Selasa lalu atas kesalahan dadah dan kini ditempatkan di Pusat Pemulihan Narkotik, di Gambang, Pahang.

Sumber – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker