1,625 mahasiswa terima tauliah PALAPES

(Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah (kanan) mengurniakan watikah tauliah kepada seorang pegawai kadet institusi pengajian tinggi di Bangi, Selangor, baru-baru ini)

Oleh Rohana Man

 

BANGI: Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) institusi pengajian tinggi (IPT) terus gagah melangkah usia lebih empat dekad sejak pasukan itu bermula dengan penubuhan Batalion Pertama Infrantri Askar Wataniah Cawangan Universiti Malaya (IM) pada 3 April 1965.

Bermula dengan itu dan selepas perbincangan diadakan dengan naib-naib canselor universiti dan pengarah Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara), Reserve Officer Training Unit (ROTU) ditubuhkan pada 18 Disember 1978.

Kini dikenali dengan nama PALAPES, program dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi itu telah melahirkan pegawai simpanan bagi memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sejajar perkembangan semasa, program PALAPES kini merangkumi tiga cabang perkhidmatan dalam ATM iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.

Pada masa kini, program PALAPES dikendalikan di 18 buah IPTA dan sebuah IPTS.

Mengikut program itu, pegawai kadet akan dilatih selama tiga tahun secara sambilan yang mana latihan biasa meliputi subjek-subjek berkaitan ketenteraan dan diadakan pada setiap cuti hujung minggu.

Latihan lanjutan dan intensif pula diadakan setahun sekali secara sepenuh masa selama tiga minggu.

Antara IPT yang mempunyai PALAPES ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM 1979), Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara 1979), UM (1980), Universiti Putra Malaysia (1980), Universiti Sains Malaysia (1980), Universiti Utara Malaysia (1984), Universiti Teknologi Malaysia (1991), Universiti Malaysia Sabah (1996), Universiti Malaysia Sarawak (1997), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM 2003), Universiti Malaysia Perlis (2005) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (2018).

Pada tahun ini, Istiadat Pentauliahan Diraja PALAPES Universiti Awam Ke-40 disempurnakan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di UKM, baru-baru ini.

Ketibaan Tengku Hassanal disambut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Panglima Angkatan Tentera (ATM), Tan Sri Affendi Buang dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman.

Istiadat perbarisan melibatkan 1,625 pegawai kadet PALAPES daripada 16 detasmen dari 19 IPT seluruh negara, diketuai Pegawai Rendah Kanan, Muhammad Badrul Amin Amanti dari PALAPES UKM.

Daripada jumlah itu, seramai 34 mahasiswa menerima penyampaian Anugerah Pedang Kehormat sebagai kadet terbaik keseluruhan.

Selesai istiadat perbarisan, Tengku Hassanal turut mengurniakan watikah tauliah kepada 1,024 pegawai kadet Tentera Darat Malaysia, 277 pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia dan 324 pegawai kadet Tentera Udara Diraja Malaysia di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, disusuli bacaan ikrar Taat Setia Perwira serta penyerahan skrol ikrar oleh pegawai muda yang baru ditauliahkan.

Sementara itu, Timbalan Komandan PALAPES UTHM, Lt Kol Mohd Safiee Idris berharap pegawai kadet PALAPES menjadi penerus kepimpinan negara.

“Kita tanamkan semangat patriotik dan kesukarelawanan dalam diri mahasiswa selama tiga tahun.

“Saya harap dengan elemen penting itu, anak muda yang merupakan warisan negara kita menjadi teras pimpinan masa hadapan,” katanya.

Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam ke-40 adalah istiadat tahunan dan dianjurkan mengikut penggiliran.

Bagaimanapun, istiadat itu tidak dapat dilaksanakan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik COVID-19.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker