Pokok tumbang menimpa kereta, sekeluarga selamat

Oleh – Syeikh Baran


Pokok tumbang menimpa kereta, sekeluarga selamat
ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu memotong pokok yang tumbang dan menimpa kereta Perodua Alza di pekan Kuala Klawang di Jelebu petang tadi. NAZARUDIN SHAHARI.

Seramai enam sekeluarga berdepan detik cemas apabila sebatang pokok di tepi jalan tumbang dan menimpa kenderaan dinaiki mereka dalam kejadian di pekan Kuala Klawang dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden, Maslan Udin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika keluarga itu yang terdiri daripada sepasang suami isteri berusia 52 tahun dan 38 tahun bersama empat anak mereka berusia dua hingga 14 tahun menaiki kenderaan Perodua Alza menuju ke Seremban dari pekan ini.



Beliau berkata, tiba di tempat kejadian berhampiran Stadium Jelebu sebatang pokok palma yang menjadi hiasan di tepi jalan tiba-tiba tumbang dan menghempap bahagian enjin kenderaan berkenaan.

“Bahagian enjin remuk tetapi tidak terkena bahagian kabin yang diduduki semua mangsa.

“Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Jelebu bergegas ke tempat kejadian sebaik mendapat panggilan kecemasan dan tiba di lokasi dalam tempoh seminit.

“Anggota penyelamat mengeluarkan semua mangsa dari kenderaan itu sebelum ambulan membawa mereka ke Hospital Jelebu,” katanya ketika dihubungi hari ini.



Menurutnya, semua mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital berkenaan.

Tambahnya, pasukan bomba telah memotong pokok yang menghempap kereta tersebut dan mengalihkan ke tepi jalan serta membersihkan jalan raya daripada tumpahan minyak kereta bagi membolehkan laluan itu digunakan semula oleh kenderaan.

Sumber -KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button