4 kali banjir lumpur dalam dua bulan

MASJID TANAH: Kira-kira 70 daripada 13 keluarga terpaksa bergelut dengan banjir lumpur yang melanda kediaman mereka di Kampung Ramuan Cina Besar untuk kali keempat malam tadi dalam tempoh dua bulan.

Banjir kilat yang melanda kediaman mereka pada jam 12 malam tadi menyebabkan mereka bukan setakat terpaksa bersengkang mata demi keselamatan masing-masing, malah berhempas-pulas menyelamatkan harta benda.

Penduduk berkata banjir kilat itu adalah kali keempat selepas 4 dan 10 Ogos lalu serta 2 September lalu.

Sehubungan itu mereka menggesa kerajaan negeri mengambil langkah segera membantu mengatasi masalah banjir lumpur yang didakwa berlaku setiap kali hujan lebat.



Mangsa, Zakaria Che Lah, 71, berkata dia terpaksa gagahkan diri memindahkan peralatan elektrik ke tempat tinggi apabila kediamannya dinaiki air paras lutut orang dewasa malam tadi.

“Hujan lebat bermula jam 11 malam dan hanya dalam tempoh sejam selepas itu, rumah yang diduduki bersama isteri, Tijah Badat yang berumur 70 tahun, dinaiki air bercampur lumpur.

“Kami sudah tua dan tidak larat lagi untuk membersihkan rumah setiap kali dilanda banjir berlumpur,” katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Rambeli Othman, 73, berkata beliau sedang tidur apabila dikejutkan dua anak lelaki berusia 27 dan 36 tahun apabila air mula memasuki rumah pada jam 12 tengah malam.



“Sekali lagi kami terpaksa membersihkan lantai rumah yang dilitupi lumpur tebal kerana air dari anak sungai yang melimpah ke dalam rumah.

“Kali ini sudah empat kali kami terpaksa menghadapi banjir kilat dan lumpur selepas tiga kali dalam tempoh dua bulan,” katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana tiga anggota keluarga, termasuk isteri, Normah Che Lah, 68, tidak mengalami kecederaan ketika mengharung banjir lumpur yang surut pada jam 5 pagi.

Katanya, sehingga jam 9 pagi ini dia dan anggota keluarga terpaksa membersihkan kediaman yang berlumpur dan berbau busuk.

Pekerja kilang di Kawasan Perindustrian Tangga Batu, Tanjung Kling, Ismail Salim, 54, mendakwa dia terpaksa mengeluarkan kos tinggi bagi menjalankan kerja pembaikan enjin kereta yang sudah dua kali ditenggelami air dan lumpur.

“Sebelum ini sudah dua kali saya mengeluarkan kos yang bukan sedikit untuk ‘over haul’ enjin kereta tetapi malam tadi saya sempat mengalihkan kereta Perodua Myvi ke tempat tinggi.

“Saya merayu kerajaan melebarkan anak sungai berhampiran rumah kami yang menanggung beban aliran air tinggi dari ladang kelapa sawit di hulu sungai setiap kali hujan lebat,” katanya.

Beliau berkata setiap kali hujan lebat, anak sungai yang kira-kira 10 meter dari kediamannya tersekat dengan lumpur, menyebabkan air melimpah ke rumah penduduk.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker