600 mangsa dipindahkan di Batu Pahat

Batu Pahat: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading dekat sini bagi menempatkan 600 mangsa banjir daripada 190 keluarga, hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, banjir melanda empat kawasan iaitu di Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading dan Pekan Seri Gading.

“Kejadian berlaku susulan hujan lebat hari ini pada 1.30 pagi sehingga 5.30 pagi dan bertembung dengan fenomena air pasang besar yang bermula pada 3 pagi.

“Kejadian ini menyebabkan kawasan tanah rendah dinaiki air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.



Ismail berkata, pada awalnya PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gading, namun telah mula dinaiki air banjir dan kemudiannya dipindahkan ke SMK Seri Gading.

“Usaha membantu memindah mangsa sedang dijalankan.

“Sehingga kini jalan-jalan utama yang menghubungi daerah Batu Pahat dengan lain-lain daerah, masih lagi boleh dilalui oleh semua kenderaan,” katanya.

Katanya, operasi menyelamat telah disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) dengan keanggotaan seramai 25 orang terdiri dari pegawai dan anggota.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker