Ada bukti kukuh Bella diabai dan aniaya

KUALA LUMPUR: Rakan baik Siti Bainun Ahd Razali mengesahkan di Mahkamah Sesyen hari ini, aktivis masyarakat, Mona Din, memberi pendapat mengenai kaedah hantaran di Facebook, bagi membangkitkan kemarahan pengguna media sosial berhubung kes penderaan remaja dikenali Bella.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin, 39, ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Nurul Hafidzah Hassan mewakili pengasas Rumah Bonda itu yang didakwa mendera remaja Sindrom Down berkenaan, berkata beliau tidak mengikut pendapat itu.

Zurianty yang juga pembantu pengurus syarikat swasta, turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa Mona ada mengatakan kes itu akan menjadi lebih berat jika orang awam ‘mengamuk’.

Nurul Hafidzah: Saya cadangkan kes Bella ini ditularkan oleh Mona Din?

Zurianty: Tidak pasti.

Nurul Hafidzah: Puan terkejut dengan video Bella yang ditularkan?

Zurianty: Saya setuju.

Nurul Hafidzah: Tidak tahu daripada sumber mana video Bella?

Zurianty: Setuju.

Nurul Hafidzah: Saya cadangkan bukan puan beri video Bella kepada Mona Din?

Zurianty: Setuju.

Nurul Hafidzah: Berdasarkan perbualan dengan Mona Din, puan tidak menyokong (tindakan) tularkan kes Siti Bainun?

Zurianty: Setuju.

Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta gangguan emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, antara Februari hingga Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pemeriksaan balas oleh seorang lagi peguam bela Siti Bainun, Mohammad Farhan Maaruf; Zurianty berkata, beliau mempunyai bukti kukuh berhubung kes pengabaian dan penganiayaan remaja terbabit.

Katanya, beliau memaklumkan kepada pegawai penyiasat kes itu mengenai bukti berkenaan, selepas diminta berbuat demikian.

Zurianty menegaskan sentiasa memberi kerjasama yang baik dalam siasatan kes itu dan berhubung dengan pegawai penyiasat, dari semasa ke semasa jika mempunyai keperluan.

Mohammad Farhan: Selain daripada Yasmin (penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood), dalam pengetahuan puan tiada seorang pun pernah nampak dengan mata sendiri bahawa Bainun dera Bella?

Zurianty: Tidak setuju.

Mohammad Farhan: Puan tahu individu, selain Yasmin memang nampak Bainun dera Bella?

Zurianty: Ya, selepas saya buat laporan. Kejadian di rumah Bainun yang mana ada individu lain tinggal bersama iaitu Eyna, Aida dan Balqis sepanjang tempoh itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker