Bayangkan betapa banyak transformasi jika PH diberi mandat lagi – Fahmi
KUALA LUMPUR – Lebih banyak transformasi dan reformasi institusi berlaku dalam negara ini sekiranya Pakatan Harapan (PH) sekali lagi diberikan peluang untuk menjadi Kerajaan.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil mahu rakyat membayangkan perkara tersebut selepas banyak pembaharuan berjaya dilakukan melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara PH dan dengan Kerajaan Persekutuan yang dimeterai pada 13 September tahun lalu.
“Kesemua transformasi yang dilakukan ini adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih stabil selain membuktikan kepada rakyat yang PH mampu mengetepikan sentimen politik demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
“Hasilnya, beberapa pindaan perlembagaan telah dapat dilakukan dan ia tidak mungkin akan berlaku tanpa adanya MoU ini.
“Jika kesemua transformasi ini boleh dicapai melalui MoU ini, bayangkan betapa banyaknya transformasi dan reformasi institusi yang boleh dilakukan sekiranya peluang dan mandat rakyat diberikan sekali lagi kepada PH,” kata Fahmi dalam satu kenyataan di media sosial.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memimpin kerajaan campuran Pas, UMNO dan Bersatu dan lain-lain parti menandatangani MoU dengan PH yang merupakan parti pembangkang sebaik dilantik menjadi Perdana Menteri.
Ia bagi memastikan Kerajaan yang dipimpin stabil tanpa ada bantahan daripada ahli Parlimen.
MoU yang dimeterai mengandungi syarat supaya Kerajaan pimpinan Ismail Sabri melakukan pembaharuan.
Menurut Fahmi, dianggarkan lebih 83 peratus perkara-perkara yang telah disepakati sudah berjaya dilaksanakan.
Ini antaranya Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen pada 28 Julai 2022.
Pewartaan Undi18 dan Pendaftaran Pemilih Automatik Pindaan umur kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih automatik telah diwartakan secara rasmi dan mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2021.
Usaha memperkukuhkan usaha ke arah pelaksanaan perkara-perkara yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dipersetujui bersama.
MoU itu turut menyaksikan pembaharuan Parlimen berlaku dan antara pencapaian utama yang dapat dilihat ialah melalui pemerkasaan Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dengan penyertaan yang lebih seimbang di antara Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang.
Hasil MoU ini, menurut Fahmi, kesemua Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang menerima peruntukan yang sama, demi menjamin khidmat yang berkesan dan manfaat akhir dinikmati rakyat.
MalaysiaGazette