Harga siling RM3.50 beri manfaat

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyenduk lauk untuk hidangan makan tengah hari pada harga RM3.50 di sebuah kafeteria kolej kediaman Universiti Malaysia Sabah di Kota Kinabalu, baru-baru ini)

Oleh Rohana Man

KOTA KINABALU – Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berpuas hati dengan pelaksanaan harga siling RM3.50 bagi satu hidangan di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Malah lebih menggembirakannya apabila hasil inisiatif yang digerakkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sejak Julai lalu telah memberi manfaat kepada seramai 13,179 pelajar universiti berkenaan.

“Saya harap dengan adanya inisiatif ini, ianya dapat mengurangkan kos sara hidup anak-anak pelajar di kampus,” katanya dalam Facebook KPT di sini, hari ini.

Noraini kini berada di UMS dan berkesempatan melakukan tinjauan di Kafeteria Kolej Kediaman Tun Fuad, UMS bagi memastikan hidangan menu Keluarga Malaysia bernilai RM3.50 diberikan dalam kuantiti munasabah dan tidak mengabaikan aspek kualiti makanan.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) yang kini sedang menjalankan tugas Naib Canselor UMS, Prof. Madya Dr. Raman Noordin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan), Prof. Datuk Dr. Husaini Omar.

Dalam lawatan itu, beliau turut berpeluang untuk bersama-sama dengan pelajar dan sukarelawan Yayasan Sukarelawan Siswa menikmati sarapan menu Keluarga Malaysia RM3.50 di kafeteria kolej kediaman universiti tersebut.

Dalam usaha untuk mengatasi dan mengurangkan beban rakyat terutamanya pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), KPT telah memperkenalkan ‘Menu Keluarga Malaysia’ di premis jualan makanan di IPT seluruh negara sebagai alternatif bagi golongan sasar mendapatkan hidangan pada harga berpatutan sejak inisiatif itu dilaksanakan Julai lalu.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, masalah ekonomi global yang kini berada pada tahap genting berpunca daripada pelbagai faktor.

Katanya, negara-negara besar dalam pengeluaran sumber makanan yang terjejas menyebabkan kesan domino kepada negara pengguna.

“Dalam hal ini, negara kita tidak terkecuali berhadapan dengan cabaran ekonomi global yang menyebabkan berlakunya kenaikan harga barang,” katanya.

Peningkatan harga barang menyebabkan pengusaha kafeteria dan penyedia makanan di kampus IPT terpaksa menaikkan harga jualan makanan masing-masing.

Keadaan itu membebankan mahasiswa terutama daripada keluarga B40 dan sebagai inisiatif, KPT memperkenalkan menu Keluarga Malaysia pada harga siling RM3.50 satu hidangan.

Bagi melaksanakan penetapan harga itu, KPT memberi moratorium bayaran sewa selama enam bulan kepada pengusaha kafeteria dan penyedia makanan di IPT seluruh negara.

Di UMS, pelajarnya mula menikmati menu makanan berkualiti di kafeteria kolej kediaman masing-masing pada harga RM3.50 sejak pertengahan bulan Julai lalu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Profesor Madya Dr. Raman Noordin berkata, daripada keseluruhan jumlah pelajar B40 seramai 13,179 orang di universiti itu, sebanyak 4,215 adalah penuntut lelaki, manakala 8,964 pelajar perempuan.

“Langkah ini diharap dapat membantu mengurangkan beban kewangan pelajar UMS terutama pelajar dalam kelompok B40,” katanya dalam sebuah laporan akhbar tempatan.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker