Russia dan Amerika Syarikat berhujah esok di ICJ

 

Oleh Pena Merah

Russia dan Amerika Syarikat berhujah esok di ICJ
Penunjuk perasaan pro-Palestin di luar Mahkamah Keadilan Antarabangsa di The Hague, Belanda, semalam. – Foto REUTERS

Amerika Syarikat (AS) dan Russia, dijadual berhujah esok dalam prosiding di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagi meneliti kesahan pendudukan Israel di wilayah Palestin.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia pada 2022 diminta oleh Perhimpunan Agung PBB untuk mengeluarkan pendapat yang tidak mengikat mengenai akibat daripada undang-undang pendudukan.

Israel yang tidak mengambil bahagian, dalam ulasan bertulis berkata, pembabitan mahkamah boleh menjejaskan usaha mencapai penyelesaian menerusi rundingan.

Washington pada 2022 menentang mahkamah itu mengeluarkan pendapat dan dijangka berhujah esok bahawa ia tidak boleh memutuskan kesahan pendudukan itu.

Lebih 50 negara akan mengemuka hujah sehingga Isnin depan. Mesir dan Perancis juga dijadualkan berucap pada Rabu.

Pada Isnin, wakil Palestin meminta hakim mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah mereka sebagai haram dan berkata, pendapatnya boleh membantu mencapai penyelesaian dua negara.

Pada Selasa, 10 negara, termasuk Afrika Selatan mengkritik keras tindakan Israel di wilayah yang diduduki dengan banyak yang mendesak mahkamah mengisytiharkan pendudukan itu sebagai haram.

Lonjakan kekejaman terbaharu di Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu di Israel merumitkan lagi penentangan yang sudah berakar umbi di Asia Barat dan menjejaskan usaha ke arah mencari jalan menuju keamanan.

Panel 15 hakim ICJ diminta mengkaji semula pendudukan, penempatan dan penjajahan Israel, termasuk langkah yang bertujuan untuk mengubah komposisi demografi, watak dan status Kota Suci Baitulmaqdis serta daripada menerima pakai perundangan dan langkah diskriminasi yang berkaitan.

Hakim dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk mengeluarkan pendapat mereka mengenai permintaan itu, yang turut meminta mereka mempertimbang status undang-undang pendudukan dan kesannya terhadap negara.

Israel tidak mengendahkan pendapat Mahkamah Dunia pada 2004 yang mendapati tembok pemisah Israel di Tebing Barat melanggar undang-undang antarabangsa dan harus dirobohkan, sebaliknya pembinaan tembok itu diteruskan. – REUTERS

Russia dan Amerika Syarikat berhujah esok di ICJ
Hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa bersidang mengkaji tuduhan Afrika Selatan berkaitan operasi tentera Israel di Gaza pada bulan lalu. – Foto REUTERS

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker