Ikut inisiatif bank

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak menentukan pemberian moratorium pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebaliknya ia bergantung kepada bank.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak memiliki bank, sebaliknya kerajaan hanya menggalakkan dasar yang membantu rakyat.

“Banyak inisiatif dilaksanakan kerajaan dalam membantu pemulihan PKS dan mikro seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.



“Bank menentukan pemberian moratorium pinjaman kepada PKS yang benar-benar memerlukan, malah bank masih terbuka membantu mereka yang begitu memerlukan bantuan kewangan demi kelangsungan perniagaan mereka.

“Apa yang penting, bank mesti terus menyokong PKS yang berdepan kesulitan. Moratorium pukal (blanket moratorium) tidak sesuai kerana dalam jangka panjang kita perlu menyokong syarikat yang boleh beroperasi.

“Kerajaan berharap bank terus menyokong PKS yang benar-benar berdepan kesukaran. Penting memastikan PKS berkembang,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan khas di Persidangan Perbankan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai laporan media bahawa kerajaan akan membincangkan cadangan pemberian moratorium kepada PKS dengan kementerian berkaitan dalam masa terdekat.



Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perbincangan itu akan membabitkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sebelum ini, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yasin mencadangkan pemberian moratorium kepada PKS terutama mereka yang masih bergelut untuk pulih pasca-Covid-19.

Muhyiddin mencadangkan pemberian moratorium kepada PKS memandangkan sektor itu belum pulih sepenuhnya dan ditambah dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Tiada keperluan untuk menambat ringgit kepada dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan ekonomi Malaysia kekal di landasan yang kukuh disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang semakin berkembang.



Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, prestasi ringgit berbanding dolar AS perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibanding dengan dolar AS semata-mata.

Katanya, kekuatan mata wang juga bergantung kepada asas ekonomi yang kukuh dan ia lebih penting bagi memastikan pengukuhan ringgit Malaysia.

“Pada asasnya, ekonomi negara semakin berkembang kukuh dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama tahun ini meningkat sebanyak 5.0 peratus dan suku kedua 2022 juga mencatat pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 8.9 peratus, manakala suku ketiga ini kita jangkakan ia lebih kukuh.

“Justeru, kita tidak boleh terus menilai mata wang ringgit jatuh kerana sebenarnya ringgit juga meningkat berbanding banyak nilai mata wang lain di dunia.



“Kita juga dapat melihat bukan sahaja nilai ringgit yang telah turun berbanding dolar AS, malah mata wang seperti yen, pound, euro, yuan, peso, baht dan won juga menurun berbanding dolar AS.

“Tetapi jika kita bandingkan ringgit dengan sesetengah mata wang asing yang lain (yen, pound, euro, yuan, peso, baht, won), nilai ringgit lebih mengukuh berbanding semua mata wang asing ini.

“Paling penting sebagai negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara kalau dibandingkan dengan negara lain.

“Jadi janganlah kita tengok pada satu aspek saja dan lebih penting sekarang adalah kerajaan memperkukuhkan asas ekonomi dan kewangan negara kerana asas yang kukuh dapat membantu mengukuhkan ringgit,” katanya.



Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan khas di Persidangan Perbankan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Malaysia anjuran Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM) di sini, semalam.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai pemberian moratorium kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya, kerajaan tidak boleh menentukan bank untuk memberi moratorium sebaliknya kerajaan akan terus mengalakkan polisi yang menyokong dasar kepentingan rakyat, yang mana banyak inisiatif telah dilaksanakan kerajaan dalam membantu pemulihan PKS seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.

Beliau berkata, bank menentukan pemberian moratorium pinjaman kepada PKS yang benar-benar memerlukannya, malah bank masih terbuka membantu mereka yang begitu memerlukan bantuan kewangan demi kelangsungan perniagaan mereka.



“Apa yang penting, bank mesti terus menyokong PKS yang berdepan kesulitan. Moratorium pukal (blanket moratorium) tidak sesuai kerana dalam jangka panjang kita perlu menyokong syarikat yang boleh beroperasi,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button