Jangan mudah memuat naik sesuatu di laman sosial

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim mengingatkan pemainnya agar tidak sewenang-wenang memuat naik sesuatu di laman sosial yang boleh memberi kesan kepada prestasi dan pasukan kebangsaan.

Jelas Nasihin, beliau sedikit terkilan dengan tindakan pemain hoki negara, Kirandeep Kaur yang meluahkan rasa kecewa masalah untuk melanjutkan pengajian di universiti serta biasiswa.

Katanya, walaupun ia luahan itu mungkin bersifat peribadi, namun ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada skuad hoki wanita negara dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang selama ini banyak membantunya.



“Pasukan lebih penting daripada segala-galanya. Sepatutnya dia (Kirandeep) tidak perlu berbuat begitu kerana ia seolah membawa gambaran negatif kepada pihak lain.

“Sedangkan kita sudah banyak beri pengecualian buat dia seperti sediakan jadual latihan yang lebih fleksibel agar mudah untuknya belajar dan bermain hoki.

“Kita tahu dia seorang pemain yang ada akademik yang bagus, sebab itu kita beri galakan untuknya disamping mahukan dia kekal beraksi dengan pasukan negara juga.

“Tetapi bila buat macam itu (luahan di media sosial) ia seolah macam tak ada hormat kepada pasukan.



“Bukan dia saja yang belajar sambil bermain, ramai juga pemain lain sepertinya tapi jika ada sebarang masalah, mereka ikut saluran yang betul dan bukan guna media sosial,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, MHC menerusi satu kenyataan media menyatakan rasa kecewa dengan kenyataan Kirandeep di media sosial Twitter miliknya berhubung masalah melanjutkan pengajiannya.

Jelas MHC, badan induk itu bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mengurus secara bersama proses pengajian Kirandeep sejak tahun lalu dengan menempatkan pemain itu mengikuti pengajian di Matrikulasi Gambang, sebagai langkah pertama dalam proses melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Ujar Nasihin, keputusan permohonan ke Universiti masih belum dikeluarkan pihak berwajib dan tuduhan Kirandeep yang menyatakan tidak mendapat sokongan dan tidak dihargai adalah tidak berasas.



“Kita semua bantu dia. Presiden MHC (Datuk Seri Subahan Kamal) dan Dr Shamala (Timbalan Presiden MHC, Prof Datuk Dr S Shamala) antara pihak yang sering bantu dia, malah sering ambil berat tentang dia.

“Tak ada siapa yang lebih besar daripada pasukan dan pemain kena letakkan rasa hormat yang tinggi kepada pasukan,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button