Litar Sepang ‘makanan’ saya

Kuala Lumpur: Pelumba wild card negara, Syarifuddin Azman yakin mampu menyerlah pada perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia 2022 yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Oktober ini.

Syarifuddin berkata, SIC sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya apabila sering berlatih di litar sepanjang 5.5 kilometer itu.

“Tempat saya, makanan saya dan saya tahu selok belok di sini.

“Namun ia bergantung kepada cuaca di Sepang nanti. Pada September ini, berkemungkinan cuaca hujan dan macam-macam lagi, jadi saya perlu mempersiapkan diri, mental saya sendiri untuk lebih baik lagi.



“Saya juga berharap di Sepang nanti penuh dengan sokongan rakyat Malaysia, datang menyokong saya dan pelumba lain,” katanya, selepas majlis menandatangani perjanjian antara penajanya di GP Malaysia iaitu RCB, hari ini.

Pada perlumbaan di Sepang kelak, Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok mewakili pasukan Visiion Track Racing Team, bakal menggunakan jentera dan khidmat pasukannya di Kejuaraan Dunia JuniorGP dan pastinya ia sesuatu yang bakal menambahkan semangat buat dirinya.

“Di GP Malaysia nanti, saya akan gunakan jentera di JuniorGP. Semua sama dan saya akan membawa pasukan saya dari Eropah ke Malaysia. Mereka sudah menjadi seperti keluarga saya sendiri. Saya gembira dan serasi dengan mereka. Saya mempunyai keyakinan dengan mereka dan diri saya sendiri yang saya boleh melakukannya,” katanya.

Selain itu, Damok berkata, dia mensasarkan untuk meraih penamat dalam kelompok 10 terbaik di Malaysia ataupun membuat kejutan dengan muncul pemenang di GP Malaysia.



“Untuk wild card ini, saya akan sahut cabaran CEO SIC ( Ketua Pegawai Eksekutif Azhan Shafriman Hanif) untuk dapatkan penamat dalam kelompok 10 terbaik dan satu lagi daripada penaja utama GP Malaysia iaitu Petronas yang memberi cabaran (penamat) kelompok kelima terbaik.

“Bagi diri saya sendiri, saya meletakkan sasaran untuk berada di atas podium atau membuatkan lagi Negaraku berkumandang di tempat sendiri,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker