Noraini sambut pulang sukarelawan siswa

(Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah) menyambut pulang kira-kira 100 sukarelawan siswa di Kota Kinabalu, Sabah, hari in)

Oleh Rohana Man

 



KUALA LUMPUR – Misi Sukarelawan Siswa melibatkan penyertaan 100 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara menutup tirai dengan penuh ‘bergaya’ hari ini.

Selepas berkampung selama hampir dua minggu di Kudat, Tuaran dan Beluran di Sabah, kesemua sukarelawan terbabit berjaya menyelesaikan misi di kampung-kampung terpilih dan pulang dengan penuh bersemangat.

Lebih mengujakan apabila kepulangan mereka disambut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dalam satu acara yang diadakan khusus untuk mereka di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Noraini dalam Facebooknya memaklumkan beliau berkesempatan menyambut pulang 100 sukarelawan siswa yang terlibat dalam misi anjuran Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ke Sabah 2022 itu.



Menurutnya, melalui aktiviti kesukarelawan seperti itu, golongan siswa berpeluang untuk berinteraksi dan tinggal bersama komuniti setempat.

“Saya percaya usaha seperti ini bukan sahaja membolehkan pelajar menggunakan kemahiran dan latar belakang pengajian masing-masing untuk menimba ilmu melalui pengalaman, malah dapat juga meningkatkan daya saing pelajar dan semangat kemasyarakatan dalam kalangan pelajar IPT,” katanya.

Misi kali ini merupakan misi pertama tempatan yang dijalankan YSS selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Diadakan pada 1 hingga 11 September lalu, YSS telah menghantar sukarelawan siswa yang terdiri daripada pelajar IPTA, IPTS, politeknik, dan Institut Pendidikan Guru ke enam buah lokasi di daerah Kudat, Tuaran dan Beluran.



Dalam tempoh tersebut, sebanyak 136 projek telah dilaksanakan, sekali gus memberi manfaat kepada 6,478 penduduk kampung dan 1,505 murid sekolah rendah.

Antara projek yang telah dijalankan adalah saringan kesihatan dan pergigian percuma, pembinaan projek laluan pejalan kaki sekolah, kelas tuisyen percuma berkonsepkan ‘fun learning’, kelas ICT (Google, Excell, Canva dan sebagainya), bicara siswa, program pencegahan kebakaran dan pengurusan bencana, gotong-royong perdana, program silang budaya, penanaman Tunjang Bakau dan banyak lagi.

Kesemua projek yang telah dilaksanakan itu berlandaskan enam teras kesukarelawanan YSS iaitu pemerkasaan komuniti, penambahbaikan pendidikan & pembangunan kapasiti, ketahanan terhadap impak perubahan iklim & kelestarian alam sekitar, kesihatan, transformasi digital dan mobilisasi impak sosial.

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button