Pelajar KGPN UKM raih 73 pingat emas

(Pelajar Kolej GENIUS@PIntar Negara UKM bergambar bersama dengan mengibarkan Jalur Gemilang, bendera UKM dan bendera kolej selepas meraih 11 trofi, 73 pingat emas dan 49 pingat perak di Bangkok, Thailand baru-baru ini)

Oleh Rohana Man

 

BANGI – Pelajar Kolej GENIUS@Pintar Negara (KGPN) UKM sekali lagi mengharumkan nama negara di World Scholar’s Cup Global Round 2022 yang berlangsung di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dipetik dari Facebook Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seramai 12 pelajar KGPN UKM berjaya merangkul sebanyak 11 trofi, 73 pingat emas dan 49 pingat perak.

Dalam pertandingan itu, pasukan kolej berkenaan telah membawa tiga pasukan senior yang terdiri daripada Nimexsionre Sulani, 17; Evelyn Foo, 16; Hemmasshini Rajavel, 16; Amelia Siow, 15; Muhammad Syarif, 16; Nurin Sofea, 17; Jack Lim, 16; Goh Yi Wei, 17; dan Nur Sarah Nabihah, 17.

“Pasukan kolej berkenaan telah mempamerkan aksi cemerlang dalam pertandingan peringkat global tahun ini.

“Selain itu, Goh Yi Wei telah dinobatkan sebagai penerima Asimov Award kerana berjaya memperoleh markah tertinggi dalam acara Scholar’s Challenge,” kata kenyataan tersebut.

Delegasi pelajar ke Bangkok diiringi Afifah Mohamad Radzi.

Selain itu, pasukan senior itu juga berjaya menjadi juara dalam acara Scholar’s Bowl dan dinobatkan juara keseluruhan.

Tidak ketinggalan juga pasukan junior yang dianggotai Adib Asyraf, Nas Nadine Nabeeha, dan Nur Alya Maisarah yang kesemuanya berusia 14 tahun dan berjaya mendapat tempat keenam.

“Kejayaan pasukan senior dan junior ini tambah bermakna apabila pegawai pengiring mereka, Afifah Mohamad Radzi dinobatkan sebagai ‘Coach of The Year’ oleh pihak penganjur,”ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker