Sporting kejutkan Spurs di Lisbon

LISBON: Antonio Conte mengakui Tottenham kendaliannya menerima padah di atas kesilapan sendiri apabila dikejutkan 2-0 oleh Sporting Lisbon dalam aksi Kumpulan D Liga Juara-Juara Eropah.

Ketumpulan jentera serangan dan kecuaian benteng pertahanan dalam masa kecederaan menyaksikan Paulinho dan Arthur Gomes berjaya membolosi Spurs dalam tempoh empat minit aksi di Stadium Jose Alvalade, Lisbon.

Richarlison, Harry Kane dan Emerson Royal gagal menewaskan penjaga gol Sporting, Antonio Adan, manakala kemarau jaringan Son Heung-min memasuki perlawanan kelapan.

Tottenham begitu hampir untuk membawa pulang satu mata dari Portugal sebelum Paulinho menanduk masuk gol pembukaan dan Gomes membelah benteng pelawat untuk kemenangan kedua berturut-turut Sporting di peringkat kumpulan.



“Ia keputusan yang sukar. Apabila tewas anda tidak akan gembira. Saya rasa perlawanan ini tidak seimbang di babak kedua, kami mampu menjaringkan gol.

“Kami cuba untuk memenangi permainan dan dalam 10 minit terakhir kami boleh melakukan dengan lebih baik.

“Malangnya mereka menjaringkan gol menerusi sepakan sudut dan kami dibolosi lagi selepas 90 minit. Ada dua atau tiga situasi di mana kami sepatutnya tampil lebih baik,” kata Conte.

Ia adalah kekalahan pertama dalam lapan perlawanan di semua pertandingan untuk Tottenham, membantutkan rentak mereka di pentas elit Eropah selepas kemenangan 2-0 ke atas Marseille pada aksi pembukaan minggu lalu.
AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker