UPSI prihatin bantu pelajar OKU



(Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Aminuddin Al-Hafiz Ismahisham di UPSI, Tanjung Malim, Perak baru-baru ini)

 

Oleh Rohana Man

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa prihatin terhadap keperluan seluruh warga universiti itu terutama golongan kurang upaya.

Keprihatinan itu dibuktikan menerusi pelbagai cara termasuk menyumbangkan sebuah kerusi roda elektrik kepada pelajar berkeperluan khas Diploma Rekabentuk Pembangunan Permainan, Aminuddin Al-Hafiz Ismahisham.



Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, sikap prihatin itu adalah salah satu teras amalan
yang diterapkan universiti dalam memastikan kebajikan warganya terpelihara.

“Saya sempat bersama-sama sahabat UPSI dalam sesi Serahan Kerusi Roda Elektrik kepada adik Aminuddin Al-Hafiz Ismahisham, pelajar semester empat, program Diploma Reka Bentuk Pembangunan dan Permainan, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif.

“Kami sentiasa prihatin terhadap seluruh warga UPSI dan semoga sumbangan ini dapat membantu Aminuddin meneruskan pelajaran sehingga berjaya, sekali gus dapat membantu keluarga,” katanya dalam Facebook rasminya di sini, baru-baru ini.

Majlis penyerahan kerusi roda itu telah disempurnakan Dr. Md. Amin di Bangunan Canselori, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.



Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada sahabat UPSI dan seluruh penderma yang turut menjayakan sesi penyerahan sumbangan tersebut.

Dr. Md Amin, menjelaskan sumbangan itu merupakan inisiatif UPSI untuk membantu mahasiswa, termasuk golongan berkeperluan khas, asnaf dan B40 mendapatkan pendidikan sempurna sepanjang pengajian mereka.

“Saya percaya sumbangan ini memberi harapan baru kepada Aminuddin untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita-cita, seterusnya kembali berbakti kepada masyarakat setelah tamat pengajian kelak,” tambahnya sambil mengucapkan terima kasih kepada dermawan dana Tabung UPSI Prihatin dan penyumbang dana kepada Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI bagi membantu golongan sasaran.

Sementara itu, Aminuddin yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan mengakui sudah lama mengidamkan sebuah kerusi roda elektrik kerana mahu berdikari.



Ketika ditemubual pemberita, Aminuddin berkata, sepanjang zaman persekolahan sekolah rendah, beliau banyak dibantu rakan-rakan sekelas yang menolak kerusi rodanya.

“Saya mahu berdikari dan tidak mahu susahkan orang lain. Terima kasih UPSI yang bermurah hati menyumbang kerusi roda elektrik ini kepada saya,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, beliau merupakan anak tunggal yang dibesarkan neneknya dengan hasil pencen arwah datuk, membuatkannya tidak mampu memiliki kerusi roda elektrik.

“Syukur kerana pihak universiti banyak membantu menyediakan prasarana yang lengkap kepada saya.



“UPSI juga membantu saya menyediakan kemudahan pengangkutan khas setiap kali pergi dan balik ke kelas. Selain itu, saya juga mempunyai rakan-rakan yang banyak membantu menolak saya menggunakan kerusi roda,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata, pihaknya akan meneruskan agenda membantu kebajikan mahasiswa melalui Seksyen Kebajikan Pelajar.

Katanya, inisiatif itu bertepatan dengan kesesuaian teknologi semasa, namun terdapat kekangan kos yang tinggi jika dibandingkan dengan sumbangan kerusi roda manual yang jauh lebih murah.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak yang ingin menginfakkan harta secara wakaf ataupun memberi sumbangan, boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian 05-450 6000 atau layari laman sesawang https://epayment.upsi.edu.my/



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker