Siren amaran banjir dinaik taraf, radar cuaca ditambah hadapi situasi banjir

PUCHONG: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menaik taraf lebih 300 daripada 500 siren amaran banjir di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) menjelang November ini hingga Mac tahun depan.

Ketua Pengarah JPS, Datuk Dr Md Nasir Md Noh, berkata siren amaran itu dinaik taraf daripada segi bunyi dan ia akan disertakan dengan pengumuman sekiranya berlaku banjir di kawasan titik panas terutama penempatan penduduk.

“Kita sedang tambahkan kuasa bunyi siren itu dan beri pengumuman. Siren-siren ini dipasang di kawasan kritikal berlakunya banjir di seluruh negara.

“Sesi libat urus dan ujian siren amaran sudah dilaksana bersama penduduk di kawasan tertentu,” katanya dalam Program Taklimat Agensi-Agensi Teknikal dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana bersama Media di Markas SMART, Pulau Meranti dekat sini hari ini.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) dipengerusikannya bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan.

Dalam pada itu, katanya berikutan perubahan fenomena cuaca dunia yang membawa kepada iklim ekstrim, pihaknya juga meningkatkan reka bentuk benteng pada kawasan takungan air, sungai, empangan, kawasan perbandaran serta pantai untuk meningkatkan tahap keselamatan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata lima lagi radar cuaca akan ditambah menjadikan keseluruhan 19 radar dipasang di seluruh negara menjelang tahun depan.

“Dengan adanya radar ini, ia dapat memantapkan lagi operasi pemantauan cuaca. Kita akan dapat keluarkan amaran hujan atau ribut petir dengan lebih cepat,” katanya.

Katanya, fasa peralihan monsun akan bermula pertengahan September sehingga November ini dan MetMalaysia menjangkakan MTL kali ini akan bermula pada November ini hingga Mac tahun depan.

Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember ini, manakala Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember ini hingga Januari 2023.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker