Susherrie Suki cipta sejarah

(Susherrie Suki muncul anak Orang Asli suku kaum Semai pertama memperoleh Ijazah Sarjana Muda kelas pertama dari University College London)

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Seorang mahasiswa daripada keturunan Orang Asli, Susherrie Suki mencipta sejarah apabila muncul sebagai Orang Asli pertama dari suku kaum Semai meraih keputusan cemerlang di sebuah universiti terkemuka di London, United Kingdom.

Menurut kenyataan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Susherrie berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Hartanah dengan ijazah kelas pertama di Bartlett School of Planning di University College London (UCL).



Kejayaan itu meletakkan Susherrie sebagai graduan Orang Asli pertama dari Semenanjung Malaysia dianugerahkan ijazah kelas pertama dari UCL.

“Susherrie kini telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Reka Bentuk Bandar dan Perancangan Bandar di universiti yang sama,” kata kenyataan itu yang dipetik dari laman rasmi Facebook JAKOA.

Ibu dan bapa Susherrie merupakan Orang Asli suku kaum Semai yang berasal dari Kampung Orang Asli Chinggung, Behrang Ulu, Tanjung Malim, dan Kampung Orang Asli Ulu Geruntum, Gopeng di Perak.

UCL merupakan antara universiti terkemuka di dunia yang mana kedudukan semasa universiti itu adalah di tangga kelapan dunia (QS World University Ranking 2023).



Meneliti latar belakang gadis ini, beliau telah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2016.

Dalam peperiksaan itu, Susherrie memperoleh keputusan 10A yang melayakkannya menyambung pengajian di Kolej Mara Seremban.

Kecemerlangan beliau dalam pelajaran turut melayakkannya menerima tajaan Biasiswa Mara di bawah Program Young Talent Programme (YTP) untuk melanjutkan pengajian di menara gading.

Selain bidang akademik, Susherrie juga aktif dalam pelbagai kegiatan luar sama ada dalam dan luar kampus, termasuk menjadi anggota Royal Town Planning Institute, Ketua Biro Publisiti Bartlett Urban Planning Society dan Ketua Biro dalam UCL Malaysia Society

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker