Terengganu tebus kecewa
SEREMBAN: Terengganu menebus kekecewaan terlepas pingat emas acara lepas beramai-ramai individu apabila berjaya menggondol pingat emas acara lepas beramai-ramai berpasukan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022, hari ini.
Pelumba Terengganu, Wan Abdul Rahman Hamdan mengakui mereka sedikit terkilan apabila terpaksa melepaskan emas dalam acara lepas beramai-ramai individu kepada pelumba Johor, Muhammad Nur Aiman Rosli.
Bagaimanapun, ketiga-tiga warna pingat yang berjaya diraih menerusi dua acara terbabit tampak sudah cukup memuaskan hati kontinjen Terengganu.
“Dia (Nur Aiman) memang seorang pelumba pilihan tapi saya akui kami sendiri melakukan kesilapan kerana tidak sedar pelumba Johor itu melakukan pecahan dahulu.
“Apapun ini adalah lumrah dalam perlumbaan, apa sahaja boleh berlaku. Kami tetap berpuas hati dengan pencapaian meraih emas dalam acara berpasukan dan dua pelumba kami masing-masing mendapat perak serta gangsa untuk acara individu.
“Perlumbaan hari ini menang agak sukar dengan cuaca yang tidak menentu. Kalau tidak cukup berlatih, memang akan keletihan.
“Tambahan pula dengan cabaran berbukit, ia semakin menyukarkan kami. Tetapi dengan kerjasama berpasukan, akhirnya kami berjaya memenangi pingat emas,” katanya selepas perlumbaan sejauh 160 kilometer (km) itu.
Selain Wan Abdul Rahman, Muhammad Shahmir Aiman Abdul Halim serta Kee Zhe Yie, Terengganu yang turut dibarisi Mohammad Faisal Izuddin Ahmad Joyo, Muhamad Hakimi Haiqal Ahmad Sabri serta Muhamad Haizam Mohd Shabri mencatat masa terkumpul 11 jam 43 minit 17 saat (s) untuk meraih podium pertama.
Perak menjadi milik pasukan Johor yang mencatat masa terkumpul 11:49.10s manakala Wilayah Persekutuan meraih gangsa dengan catatan keseluruhan 11:53.22s.
BHOnline