UUM perkenal baucer percuma



(Pelajar Universiti Utara Malaysia daripada keluarga B40 menerima baucer bernilai RM5 setiap hari untuk membeli makanan di kafeteria kampus universiti itu di Sintok, Kedah)

Oleh Rohana Man

 

ALOR SETAR – Kira-kira 17,000 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima manfaat daripada inisiatif Menu Keluarga Malaysia pada harga siling RM3.50, yang diperkenalkan di kafeteria dalam kampus universiti itu.

Selain pelajar dapat menikmati harga satu hidangan yang murah itu, mereka turut diberikan baucar makan percuma bernilai RM5 setiap hari.



Baucer itu diberi kepada 140 pelajar yang terpilih dari keluarga B40 untuk membeli makanan di kafeteria di setiap Inapan Siswa (INASIS).

Naib Canselor UUM, Prof Dr. Haim Hilman Abdullah, berkata, bagi memastikan harga makanan di dalam kampus berada pada kadar harga yang berpatutan, UUM melaksanakan kawalan harga makanan dan barangan di kedai runcit bagi menjaga kebajikan pelajar dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

Langkah itu, katanya, sejajar dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

“Kami (UUM) sentiasa menyambut baik seruan Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan harga barang dan makanan dalam kampus terus terkawal dan tidak membebani pelajar,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.



Penetapan harga siling RM3.50 bagi satu hidangan di kafeteria kampus IPT sejak Julai lalu merupakan salah satu inisiatif KPT dalam menangani kenaikan harga barang yang menjejaskan kebajikan pelajar universiti.

Mengulas lanjut, Dr. Haim Hilman berkata, UUM amat prihatin terhadap kebajikan pelajarnya sepanjang tempoh pengajian mereka di kampus dan dengan itu, pihak universiti akan sentiasa berusaha meringankan beban mereka.

Sehubungan itu, katanya, pihak pengurusan universiti akan sentiasa bekerjasama dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta Majlis Presiden Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa Inapan Siswa serta pemimpin pelajar bagi mendapatkan maklumat berkaitan sebarang isu dan permasalahan membabitkan kebajikan pelajar.

Menurutnya, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UUM pula akan memantau tanda harga makanan dan barangan di semua premis dalam kampus supaya tidak berlaku sebarang kenaikan harga sewenang-wenangnya sehingga membebankan pelajar, terutama golongan B40





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker