Andre tiada tandingan acara lompat jauh

KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan yang mewakili Sabah, Andre Anuar jelas sukar digugat apabila pemegang rekod kebangsaan itu mendominasi acara lompat jauh Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20, di sini, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Andre merakam lompatan sejauh 7.40m sekali gus menghadiahkan pingat emas buat kontinjen Negeri Di Bawah Bayu itu.

Bagaimanapun, catatan itu tidak sebaik rekod kebangsaan yang dilakar olehnya pada Sukan SEA 2019 di Filipina menerusi catatan 8.02m.

Atlet Terengganu, Muhammad Shahrizal Nasharuddin Isham meraih pingat perak dengan catatan 7.25m manakala pingat gangsa dimenangi seorang lagi atlet dari Sabah, Muhammad Sunik Muslimin (7.24m).



Andre berkata, kemenangan itu menyaksikan dia berjaya menamatkan penantian dalam tiga edisi SUKMA untuk memenangi pingat emas dalam acara terbabit selain menjadi penutup terbaik bagi temasya itu.

“Ini adalah emas yang pertama untuk acara lompat jauh. Pada edisi 2018, saya sekadar berpuas hati membawa pulang pingat perak.

“Penyertaan pada kali ini adalah hanya untuk menikmati acara lompat jauh. Tumpuan lebih terarah kepada lompat kijang kerana saya memenangi pingat emas dalam acara itu di Sukan SEA.

“Ini juga menjadi penutup terbaik bagi karier saya dalam SUKMA kerana ini adalah penyertaan yang terakhir buat saya,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker