Gamit kenangan retro di Stesen Keretapi Ipoh

Ipoh: Stesen Keretapi Ipoh dimeriahkan dengan kehadiran 200 ‘P Ramlee dan Saloma’, mengembalikan suasana pada era 60-an hingga 90-an.

Ia menggamit kenangan retro di bangunan kolonial berusia lebih 100 tahun dengan beberapa anak muda memakai busana tradisional sarung bertemakan ‘orang kampung’, berswafoto dan menari tarian agogo menggamatkan ruang menunggu penumpang.

Program Keretapi Sarong 22 anjuran Ipoh Social Club bersama Locco itu diadakan sempena Hari Malaysia hari ini.

Pengasas Ipoh Social Club, Deena Erissa Delaila Mohd Zawawi berkata, ia adalah anjuran kali pertama di Ipoh selepas diadakan di ibu negara sebelum ini.



Katanya, ia diadakan secara serentak di Kuala Lumpur, mengumpulkan wakil dari utara untuk menyertai program berkenaan di sini.

“Konsepnya memang memakai kain sarung agar dapat mengingati semula budaya dan menyatupadukan masyarakat yang terdiri berbilang kaum dan generasi,” katanya.

Menurutnya, selain berkumpul di stesen berkenaan, mereka akan berjalan kaki di empat lokasi di sekitar Ipoh.

“Tahun ini ada sedikit kelainan, program di Kuala Lumpur kita akan bergerak menaiki keretapi, singgah dari stesen ke stesen. Tetapi di Ipoh kita berjalan kaki di sekitar Ipoh.



“Dari perkarangan Stesen Keretapi Ipoh kita berarak ke ‘Kiyoshiro Brew’, Jalan Dato Sagor untuk memberi pek makanan kepada gelandangan bersama Dapur Jalanan Ipoh, program menggunting rambut dan beberapa aktiviti lain di setiap ‘check point’ ” katanya.

Menurutnya, program santai itu mendapat sambutan dengan penyertaan menerusi media sosial termasuk Instagram.

Peserta, Mohd Sinar Ishak, 40, berkata, dia teruja datang menyertai program dengan memilih tema pakaian ala ‘Pak Maun’ bagi mengimbau kembali suasana nostalgia lama.

“Ini kali kedua saya menyertai program ini, kali pertama saya menyertai program yang diadakan di Kuala Lumpur sebelum pandemik.

“Hari ini, saya memang teruja datang berkumpul beramai-ramai menyambut Hari Malaysia di Stesen Keretapi Ipoh,” katanya.

Peserta, Nur Afieqah Ashmawi, 23, dari Chemor di sini berkata, dia bersama beberapa rakannya datang seawal jam 7.30 pagi bagi menyertai program.

“Program ini bagus untuk anak muda untuk bangunkan semula nilai budaya untuk dihayati generasi baharu akan datang,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker