COVID-19: Kita Berada Di Landasan Tepat Menuju Kemenangan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bagi memperoleh kemenangan sebenar terhadap pandemik COVID-19, kita bukan sahaja memerlukan satu tempoh waktu yang lebih lama tetapi kita juga perlu mengorbankan ‘norma biasa’ kehidupan dan menyesuaikan diri dengan ‘norma baharu’ kehidupan.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ke-3 akan berakhir dalam beberapa hari sahaja lagi dan  kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam menyebut bahawa pihaknya belum pasti sama ada PKP akan ditamatkan atau dilanjutkan kerana ia bergantung kepada data-data yang diperolehi dan analisa oleh pihak KKM.

“Graf kumulatif  kes aktif dan kumulatif kes discaj, titik pertemuan di antara 2 garisan ini hanya berjaya ditemukan pada 14hb April yang lalu, sewaktu PKP telah memasuki fasa ke-3 dan setelah 33 hari kita berusaha memutuskan rantaian COVID-19.

“Ini membuktikan bahawa peperangan melawan COVID-19 bukanlah mudah. Kita memerlukan tempoh lebih sebulan untuk menyeimbangkan kumulatif kes aktif dan kumulatif kes discaj,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, buat sementara waktu, tiada solat berjemaah dan terawih di masjid, bazar Ramadan, budaya kunjung mengunjung dan sebagainya.



“Harapan saya, apa pun keputusan yang diambil kerajaan, sama ada PKP dilanjutkan atau ditamatkan, kita kekal tenang dan menerimanya dengan positif demi kemaslahatan bersama.

“Walaupun negara sudah berada di landasan tepat bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19, tetapi kita akan terus berusaha sehingga beroleh kemenangan.

“Kekal istiqamah dan berdoa agar kita beroleh kemenangan dengan segera,” katanya lagi. – UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker