Orang muda di Jepun tidak minat untuk berkahwin

TOKYO, Jepun – Satu tinjauan mendapati sejumlah besar golongan muda di Jepun mengaku tidak berminat untuk berkahwin.

Lapor The Guardian, menurut Institut Populasi dan Keselamatan Sosial Negara, hasil tinjauan 2021 yang dikeluarkan baru-baru ini, menambah kebimbangan mengenai kadar kelahiran yang rendah di negara itu.

Berdasarkan tinjauan, sebanyak 17.3 peratus golongan lelaki dan 14.6 peratus wanita yang berusia antara 18 dan 34 tahun, menyatakan tidak mempunyai sebarang minat untuk berkahwin.



Angka itu merupakan kadar paling tinggi dicatatkan sejak tinjauan itu mula-mula dijalankan pada tahun 1982.

Kemerosotan kadar perkahwinan turut memberi kesan kepada kadar kelahiran Jepun ketika negara itu berdepan prospek pengurangan penduduk yang dramatik serta tenaga kerja dan ekonomi yang semakin menurun.

Pakar mengaitkan trend itu kepada beberapa faktor antaranya keinginan golongan wanita bekerjaya yang mahu menikmati kebebasan.

“Golongan lelaki juga mengaku seronok menjadi bujang, namun ada juga yang bimbang terhadap keselamatan pekerjaan dan keupayaan mereka untuk menyara keluarga,” jelas laporan itu.



Justeru, pakar menggesa kerajaan mempergiatkan lagi program untuk memudahkan wanita kembali bekerja selepas melahirkan anak dan menangani waktu kerja yang lama.

Sementara itu, Pakar Sosiologi di Universiti Chukyo di tengah Jepun, Prof. Shigeki Matsuda berkata, trend kadar perkahwinan yang merosot akan memberi implikasi besar ke atas kadar kelahiran negara.

“Kerajaan Jepun berusaha untuk meningkatkan kadar kelahiran dengan membantu mereka yang ingin berkahwin dan mempunyai anak.

“Namun, jika bilangan individu tidak mahu berkahwin terus meningkat maka kerajaan terpaksa mengkaji semula dasar-dasar berkaitan memandangkan ia boleh membawa kepada penurunan selanjutnya dalam kadar kesuburan,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button