Aku, KL dan gaji RM1,200!

Kuala Lumpur: Tidak dapat dibayangkan duduk di tengah bandar besar yang berdepan kenaikan kos sara hidup tinggi cuma bergantung dengan sumber pendapatan isi rumah di bawah RM1,200.

Namun, itulah keperitan dan dilema dialami kebanyakan golongan miskin bandar dalam memenuhi perbelanjaan dan keperluan bulanan diri dan keluarga.

Impak pandemik Covid-19 kepada ekonomi Malaysia menjejaskan pendapatan rakyat dan menyebabkan lebih banyak isi rumah terdedah kepada kemiskinan terutama kalangan B40 dan golongan rentan.

Buat masa ini, kerajaan menetapkan kadar garis kemiskinan di peringkat nasional bagi satu keluarga ialah RM2,208 manakala bagi miskin tegar ialah RM1,169. Dianggarkan, terdapat lebih 230,000 isi rumah dalam kategori berkenaan di seluruh negara.

Berikutan itu, dalam kalangan mereka yang berpendapatan umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ terpaksa berkorban melakukan lebih dari satu kerja untuk memastikan perut insan tersayang terutama anak-anak dapat diisi dengan makanan serta menampung perbelanjaan lain serta komitmen yang perlu dilunaskan.

Ikuti perkongsian individu ini yang bergelut siang dan malam di tengah ibu kota demi kelangsungan hidup.

Kisah 1: Penat seharian bekerja sebagai penghantar alat ganti kenderaan belum pun reda, bapa muda ini gigih menunggang motosikalnya mengambil pesanan makanan dan menghantarnya kepada pelanggan.

Muhammad Hafiz Kamal, 24, berkata, dia terpaksa pejamkan mata dan ‘melupakan’ kepenatan dialami demi memastikan kelangsungan hidup di ibu kota.

“Gaji saya sebagai despacth menghantar barang hanya cukup-cukup makan saja adalah dalam RM1,200, jadi ia tidak cukup untuk menampung keperluan dan perbelanjaan bulanan kami sekeluarga.

“Jadi, mahu tidak mahu saya perlu cekalkan hati buat dua kerja iaitu siang hantar barang kerana hanya saya saja tulang belakang keluarga kecil kami.

“Bukan isteri tidak boleh bekerja, tetapi kos menghantar anak ke pengasuh lagi mahal berbanding jaga sendiri itu belum termasuk perbelanjaan sekolah anak lagi,” katanya kepada Harian Metro. Bapa kepada tiga cahaya mata berusia dua hingga enam tahun itu berkata, mereka tinggal bersama ibu saudara yang berkongsi sewa rumah dan kos utiliti.

“Kalau saya sambung kerja sampingan selepas balik kerja hakiki bermula petang sampai malam dapatlah dalam RM50 sehari.

“Tetapi, saya tetap tidak dapat menyimpan kerana apa yang dapat habis untuk membayar motosikal RM240, sewa rumah (RM400), api air (RM100) dan bakinya untuk keperluan lain seperti barang dapur, belanja sekolah anak, lampin pakai buang dan susu.

“Buat masa ini saya kerja dulu apa yang ada dan tidak mahu terlalu memilih kerana sedar anak semakin besar kos pun semakin meningkat tambahan lagi semua barangan sudah naik harga,” katanya.

Kisah 2

Kisah 2: Dialah bapa dia juga ibu. Itulah tanggungjawab perlu digalas ibu tunggal, Zuliana Mohd Isa, 53, selepas suaminya meninggal dunia empat tahun lalu.

Menurut Zuliana, dia menyara dua anaknya yang masih bersekolah menengah dengan berniaga pisang goreng dan kuih muih secara kecil-kecilan di hadapan PPR Sabah, Cheras.

“Ikutkan saya sudah berniaga di sini sejak lebih tujuh tahun lalu ketika arwah suami masih ada lagi.

“Waktu itu, arwah bekerja tidak tetap mengikut rakannya namun dapat juga menambah pendapatan kami sekeluarga.

“Kini, tiada sesiapa lagi, saya perlu kuat bekerja sendirian untuk membesarkan anak yang masih bersekolah,” katanya.

Katanya, pendapatan diraih hasil daripada berniaga kira-kira RM600 selain turut mendapat bantuan Baitulmal RM450 namun masih tidak cukup menampung perbelanjaan mereka sekeluarga.

“Sambil berniaga saya juga ada mengambil upah mengasuh anak saudara sendiri jadi dapat juga tambah-tambah mana yang kurang.

“Semua hasil pendapatan dan bantuan itu habis saya gunakan untuk membayar sewa rumah, api dan air, belanja dapur serta keperluan sekolah anak-anak yang kadang-kadang melebihi daripada kemampuan saya.

“Jujurnya apa yang saya peroleh itu cuma cukup-cukup untuk menampung keperluan kami, memang tidak dapat menyimpan langsung faham sajalah duduk bandar ini semuanya mahal,” katanya.

Zuliana berkata, dia tidak pernah menyesali jalan hidupnya berliku namun dia berazam sedaya upaya berusaha membesarkan dan memenuhi keperluan anak-anak yang masih dalam tanggungannya.

Kalau rajin boleh dapat RM1,800

Kuala Lumpur: Bukan hanya memberikan ‘ikan’, sebaliknya agensi yang menyalurkan bantuan kepada asnaf kini membuat anjakan dengan menyediakan ‘mata pancing’ bagi memastikan kelangsungan golongan itu.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) antara contoh agensi yang memperkenalkan modul baharu, pertanian bandar kepada asnaf yang berminat mengusahakannya.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya berkata, program berkenaan di bawah satu daripada 30 skim bantuan yang ditawarkan dalam kluster pertanian.

“Kalau dulu orang kata Kuala Lumpur ini susah hendak dapat bantuan pertanian kerana tiada tanah, tetapi sekarang kita sudah ada.

“Melalui modul pertanian moden, kita bangunkan tanah kosong yang kita ada dan pilih asnaf yang masih kuat dan bertenaga untuk mengusahakan pertanian.

“Hasil pertanian itu kita akan pasarkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan rakan agensi strategik kita,” katanya.

Katanya, bukan hanya benih, baja serta peralatan pertanian disediakan, malah asnaf yang mengusahakan projek pertanian itu akan turut diberikan pendapatan antara RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.

“Kita sediakan semua termasuk diberi gaji cuma mereka bantu kita uruskan dengan mengikut prosedur penanaman yang betul supaya sayuran atau hasil pertanian yang ditanam itu segar dan dalam keadaan yang baik.

“Terbaharu kita rancang menanam cendawan dengan kerjasama syarikat DNX yang akan menyediakan benih dan membelinya apabila cendawan itu matang.

“Ini antara cara bagaimana kita hendak bangunkan ekonomi asnaf itu menerusi pekerjaan supaya mereka boleh bertahan,” katanya.

Penerima manfaat meningkat kepada sejumlah 87.1 peratus

Kuala Lumpur: Peningkatan kos sara hidup dan harga barang serta impak penularan Covid-19 menyaksikan perubahan ketara kepada pendapatan isu rumah hingga tergelincir dalam kelompok kemiskinan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya berkata, jumlah penerima yang menerima manfaat MAIWP meningkat kepada 87.1 peratus sepanjang tempoh tiga tahun lalu.

“Tahun lalu kita menyalurkan bantuan kepada 240,151 penerima membabitkan peruntukan RM447.05 juta berbanding 201,779 penerima (RM412.27 juta) pada tahun sebelumnya serta 128,228 penerima (RM348.09 juta) pada tahun 2019.

“Jumlah ini semakin bertambah mengikut keadaan semasa seperti ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan peningkatan kos sara hidup terutama mereka yang duduk di bandar dan pelbagai faktor lain,” katanya.

Katanya, pihaknya menggunakan formula pengiraan Haddul Kifayah untuk menentukan seseorang pemohon itu layak menerima skim bantuan disediakan.

“Kita ada kiraan sendiri dengan menggunakan formula Haddul Kifayah iaitu kadar kecukupan antara pendapatan dengan keperluan setiap bulan sesebuah keluarga.

“Contohnya, kalau gajinya RM5,000, anak ramai atau isteri sakit seperti memerlukan dialisis apatah lagi duduk di bandar dengan kos sewa rumah pun tinggi, jumlah itu tidak mencukupi sama juga jika gajinya lebih RM3,000 tetapi ada 10 anak.

“Jadi, mereka ini antara contoh kes yang kita kategorikan asnaf kerana keperluan melebihi pendapatan,” katanya.

Mohd Nizam berkata, MAIWP mempunyai 30 skim bantuan yang ditawarkan kepada golongan asnaf membabitkan bantuan kecemasan, kewangan, pendidikan, perubatan, perkahwinan, selesai hutang, Aidilfitri, perniagaan dan pertanian.

“Bantuan kewangan antara skim bantuan terbesar di mana kita memperuntukkan RM120 juta setahun kepada 25,000 ketua keluarga setiap bulan.

“Inilah peranan duit zakat yang kita kutip setiap tahun jadi kita mengharapkan orang ramai terus membayar zakat kepada MAIWP dan kami akan terus laksanakan amanah itu dengan telus, jujur dan penuh integriti bagi terus membela golongan memerlukan,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker