112,413 pelajar lafaz ikrar Rukun Negara serentak

(

(Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sempat beramah mesra dan swafoto dengan peserta Program Semarak Patriotik IPT 2022 di Stadium Pavilion, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), semalam)

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Seramai 112,413 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) melafazkan ikrar Rukun Negara secara serentak sempena acara kemuncak Program Semarak Patriotik IPT 2022 di Stadium Pavilion, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), pagi tadi.



Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, perkara itu sedikit sebanyak dapat membuktikan rakyat Malaysia masih hidup dalam keharmonian dan semangat kekeluargaan berbilang bangsa, agama dan juga budaya.

“Rasa seronok melihat semangat patriotik yang ditunjukkan anak-anak mahasiswa dari semua IPT seluruh negara, politeknik serta kolej komuniti sekitar Lembah Klang sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

“Saya percaya perkara ini perlu ada dan ditanam dalam setiap diri generasi muda supaya legasi yang mempunyai semangat patriotik yang tinggi dapat dilahirkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang melancarkan Majlis Perasmian Semarak Patriotik IPT 2022.



Terdahulu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan UPNM, Pegawai Kadet Mohamad Norizzaini Norizam mengetuai acara lafaz ikrar Rukun Negara diiringi 112,413 pelajar IPT dari seluruh negara secara hibrid.

Tidak ketinggalan, 31 Yang Dipertua dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Brass Band Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Berkuda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut mengambil bahagian.

Sementara itu, Noraini berkata, dalam konteks KPT, patriotisme boleh diterjemahkan melalui perkara seperti keterlibatan IPT dalam membawa nama negara dipentas nasional dan global.

“Patriotik juga boleh dilihat dalam aspek penyelidikan, sukan, akademik dan penyertaan dalam aktiviti kesukarelawanan,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker