Atase Akademik Kedutaan Libya jenguk USM

(Profesor Datuk Dr. Narimah Samat (tengah) menyambut kunjungan Atase Akademik Kedutaan Libya di Bilik Persidangan Canselori USM, baru-baru ini)

Oleh Azrin Muhammad

GEORGETOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Atase Pendidikan Kedutaan Libya di Malaysia baru-baru ini duduk semeja bagi mendapatkan solusi kepada pelbagai masalah termasuk inisiatif kerjasama antara kedua-dua negara.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Datuk Dr. Narimah Samat, kedua-dua pihak mengambil masa untuk membincangkan pelbagai isu penting, khususnya berkaitan kebajikan pelajar Libya di USM.

“Pertemuan santai di antara kedua-dua pihak turut merangkumi permasalahan urusan visa pelajar, urusan pembayaran yuran pengajian dan masalah yang dihadapi mereka dalam tempoh pandemik yang sedikit sebanyak menjejaskan pengajaran serta pembelajaran.

“Turut dibincangkan potensi kolaborasi program akademik antara USM dengan universiti awam di Libya dalam bentuk program pesisir ataupun usahasama penawaran dual degree atau double degree,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Turut hadir mengetuai delegasi Kedutaan Libya di Malaysia, Dr. Aiman Elmahmodi; Penolong Attache Akademik, Dr. Mohamed A.M Ahssi; Pengarah Pembangunan Korporat Strategik USM, Muhamad Sabri Said dan Ketua Penolong Pendaftar Bahagian Akademik dan Antarabangsa, Amirullah Zainal Abidin.

Dalam masa sama, Dr. Narimah memberitahu pihak kedutaan Libya menunjukan minat dalam aktiviti mobiliti pelajar dan pertukaran staf, khususnya program latihan dan pembangunan staf dari Libya di USM.

“Menerusi pertemuan santai ini, USM juga melihat ada potensi untuk bekerjasama dengan tetamu pada hari ini bagi menjalankan penyelidikan yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker