Brendan teruja kembali perkuat Harimau Malaya



PETALING JAYA: Pemain tengah Selangor FC, Brendan Gan gembira menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan sekali lagi, dan sudah tidak sabar untuk membantu skuad Harimau Malaya dalam Kejohanan Piala Raja Thailand di Chiang Mai minggu depan.

Pemain berumur 34 tahun itu berkata ia adalah satu penghormatan diberikan peluang menyarung jersi pasukan kebangsaan sekali lagi, selepas mengharungi pelbagai cabaran dan halangan sejak setahun lalu.

“Memang amat mengujakan bagi saya untuk kembali dan melakukan yang terbaik buat pasukan dan negara. Diharapkan kita dapat beraksi dengan baik dalam kejohanan nanti,” katanya ketika ditemui di hari pertama kem latihanh berpusat skuad negara di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini, semalam.

Brendan adalah seorang daripada 25 pemain yang tersenarai dalam skuad pimpinan jurulatih Kim Pan Gon yang akan berlepas ke Thailand Isnin ini.



Kali terkahir Brendan menyertai pasukan kebangsaan ialah ketika pasukan negara mengalahkan Thailand 1-0 dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai Emiriah Arab Bersatu pada Jun 2021, sebelum sebelum beliau disahkan menghidap kanser.

Selepas mula bermain secara kompetetif Jun lepas dalam Liga Super, bintang pasukan Selangor itu berkata beliau kini berada di tahap yang dimahukannya.

Merujuk kepada corak permainan terkini di bawah kendalian Pan Goh, Brendan mengakui beliau amat teruja dengan perubahan yang dibawa oleh jurulatih Korea Selatan itu selepas melihat beberapa perlawanan sebelum ini, termasuk dalam kempen pusingan kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur Jun lalu.

Dalam Kejohanan Piala Raja Thailand ini, Malaysia yang berada di ranking 148 dunia diundi untuk menentang Thailand (ranking 111) pada 22 Sept (Khamis), manakala Trinidad & Tobago (ranking 101) akan berhadapan dengan Tajikistan (ranking 109).



Pemenang kedua-dua perlawanan itu akan bertemu dalam peringkat final pada 25 Sept, manakala pasukan yang kalah akan berentap untuk merebut tempat ketiga.

Malaysia pernah menjulang piala berkenaan sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1972, 1976, 1977 dan 1978.

– BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker