‘Dulu tercorot, kini raja pecut’

KUALA LUMPUR: Dari tempat terakhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 di Perak, akhirnya atlet pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi muncul raja pecut SUKMA XX MSN 2022.

Pemegang rekod kebangsaan itu mengakui dia kembali ke Kuala Lumpur dengan misi untuk ‘menuntut’ semula haknya yang ‘tercicir’ pada edisi 2018 dan usahanya berhasil dengan pingat emas yang dimenangi pada final 100 meter (m) di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Jelasnya, pingat emas 100 m itu sudah cukup memuaskan dirinya kerana sasaran utamanya adalah untuk menyumbangkan pingat buat Perak dan catatan masa langsung tidak berada dalam fikirannya.

“Saya tidak sasarkan untuk berlari bawah 10 saat (s) atau sebagainya kerana lebih baik adalah saya dapat mengekalkan prestasi catatan di bawah 10.30s.

“Catatan di separuh akhir dan final cukup membuatkan saya berpuas hati. Tiada tekanan di final kerana saya berlari untuk diri saya sendiri.

“Ini kali kedua saya berlari di SUKMA dan ketika di Perak, saya nombor lapan, terakhir sekali dan saya kembali kali ini untuk mendapatkan semula apa yang sepatutnya jadi hak saya iaitu pingat emas,” katanya.

Terdahulu, atlet berusia 18 tahun itu mengesahkan status sebagai raja pecut SUKMA 2022 apabila menjadi yang pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 10.25s.

Pingat perak menjadi milik atlet Johor, Muhammad Arsyad Md Saat (10.46s) dan gangsa dimenangi atlet Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi (10.50s).

Sebagai rekod, rekod temasya dilakar oleh Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 10.18s yang dilakukan pada SUKMA 2016 di Sarawak

Rekod kebangsaan yang dipegang Azeem pula dilakukan pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 bulan lalu dengan catatan 10.09s.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker