20 lelaki ditahan berhubung insiden pergaduhan di PPR Jalan Ipoh

KUALA LUMPUR, 23 Mei — Polis menahan 20 lelaki bagi membantu siasatan berhubung  insiden pergaduhan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Ipoh di sini, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata suspek yang berusia 17 hingga 33 tahun itu ditahan selepas polis menerima panggilan mengenai insiden pergaduhan membabitkan 30 individu pada pukul 10.50 malam.

Katanya, siasatan mendapati insiden itu pada awalnya melibatkan satu kumpulan iaitu kira-kira 10 lelaki yang bergaduh sesama ahli keluarga.

“Satu lagi kumpulan datang untuk meleraikan pergaduhan itu menyebabkan berlaku rasa tidak puas hati kerana dianggap mencampuri urusan keluarga mereka, seterusnya berlaku pergaduhan antara kedua-dua kumpulan itu.

“Dalam insiden itu, seorang lelaki mengalami sedikit kecederaan pada jari telunjuk tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata terdapat empat kenderaan yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta PPR itu yang telah rosak dalam insiden berkenaan.

Mazlan berkata kesemua suspek direman selama empat hari sehingga Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur dengan menelefon 03-2115 9999 atau hubungi mana-mana balai polis yang berdekatan.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker