Mangsa banjir di Batu Pahat meningkat kepada 232 orang

BATU PAHAT: Jumlah mangsa banjir kilat di daerah ini meningkat sedikit kepada 232 orang, setakat jam 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Batu Pahat berkata, ia membabitkan 67 keluarga dari sekitar Sri Gading.

“Bilangan itu meningkat sedikit berbanding 229 mangsa (66 keluarga) yang dilaporkan terjejas, setakat jam 4 petang semalam.



“Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading.

“Mangsa banjir terbabit adalah penduduk Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading, Kampung Seri Tanjung dan Pekan Seri Gading,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, banjir berlaku susulan hujan lebat bermula jam 1.30 pagi hingga 4 pagi Rabu lalu yang diburukkan lagi dengan pertembungan fenomena air pasang besar.

“Hingga kini, hanya sebuah PPS beroperasi yang menempatkan mangsa banjir sejak jam 1.30 pagi Rabu lalu. Cuaca dilaporkan cerah, setakat jam 8 pagi tadi,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button