Sila berhenti derma benih anda!

Amsterdam: Mahkamah di Belanda, Jumaat lalu, mengarahkan seorang lelaki yang disyaki mempunyai lebih 550 anak melalui pendermaan sperma supaya berhenti menderma spermanya.

Lelaki berusia 41 tahun dari The Hague yang dikenali dalam media Belanda sebagai Jonathan M itu diheret ke mahkamah oleh yayasan melindungi hak kanak-kanak kerana pendermaan sperma.

Aduan turut dilakukan ibu kepada seorang daripada ratusan anak yang didakwa bapanya adalah berasal daripada sperma didermakan Jonathan M.



Garis panduan klinikal Belanda menjelaskan seorang penderma sperma tidak sepatutnya menjadi bapa kepada lebih daripada 25 anak dalam 12 keluarga.

Tetapi hakim berkata, lelaki itu membantu kelahiran antara 550 dan 600 anak sejak dia mula menjadi penderma sperma pada 2007.

“Oleh itu, mahkamah melarang defendan daripada menderma spermanya kepada bakal ibu bapa baharu selepas mengeluarkan penghakiman ini,” kata Hakim Thera Hesselink.

Hesselink berkata, sehubungan perintah larangan itu, Jonathan M juga mungkin tidak lagi menghubungi mana-mana bakal ibu bapa dengan hasrat bahawa dia sanggup menderma sperma, mengiklankan perkhidmatannya kepada bakal ibu bapa atau menyertai mana-mana organisasi yang mewujudkan hubungan antara bakal ibu bapa.



Sekiranya dia meneruskan sumbangan derma spermanya, dia akan berdepan denda 100,000 euro (kira-kira RM496,249) untuk setiap pelanggaran perintah berkenaan.

Hakim ketika membacakan kertas pertuduhan menjelaskan, lebih daripada 100 anak Jonathan M dilahirkan di klinik di Belanda secara persendirian, tetapi lelaki itu juga menderma sperma kepada klinik di Denmark bernama Cryos yang kemudiannya menghantar ‘benihnya’ ke alamat peribadi di pelbagai negara.

“Penderma itu sengaja memberi maklumat yang salah kepada bakal ibu bapa mengenai bilangan anak yang dia menjadi bapanya pada masa lalu,” kata Mahkamah Daerah Hague dalam satu kenyataan berasingan.

“Semua ibu bapa ini kini berhadapan dengan hakikat bahawa anak-anak dalam keluarga mereka adalah sebahagian daripada rangkaian persaudaraan yang besar, dengan beratus-ratus adik-beradik tiri, yang bukan pilihan mereka,” kata kenyataan itu lagi.



Mahkamah menganggap ia cukup munasabah bahawa ia mempunyai atau boleh membawa kesan psikososial negatif kepada anak berkenaan.

Ini termasuk masalah psikologi sekitar identiti dan ketakutan terhadap sumbang mahram.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button