Villa, Gerrard kembali bernafas lega

LONDON: Aston Villa mengurangkan tekanan terhadap bos pasukan, Steven Gerrard menerusi kemenangan 1-0 mengatasi Southampton, ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bersambung selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Liga utama England itu kembali beraksi sejak Ratu mangkat pada usia 96 tahun, 8 September lalu ketika perlawanan minggu lalu ditangguhkan sebagai tanda penghormatan.

Perlawanan esok membabitkan Manchester United dan Leeds serta Chelsea menentang Liverpool, selain Brighton melawan Crystal Palace juga dijadualkan semula berikutan isu kekurangan polis menjelang pengebumian Ratu Isnin ini.

Sebelum sepaka mula di Villa Park dan City Ground, tempat Fulham menewaskan Nottingham Forest 3-2, stadium bertafakur seminit, diikuti lagu kebangsaan dimainkan sebagai penghormatan terhadap Ratu dan akan diulangi untuk semua perlawanan minggu ini.

Juga ada tepukan diberikan penyokong di kedua-dua stadium pada minit ke-70 bagi menandakan pemerintahan ke-70 tahun monarki itu.

Ketika kemangkatan Ratu membayangi kembalinya aksi EPL, pengurus Villa, Gerrard tidak boleh leka dalam usaha menyelamatkan jawatannya.

Gol kemenangan babak pertama Jacob Ramsey berdepan Southampton menjadi suntikan besar buat Gerrard, dengan skuadnya kini satu tempat di atas zon penyingkiran.

Kemenangan pertama Villa dalam lima aksi hadir selepas seri berdepan juara bertahan, Manchester City pada perlawanan terakhir dua minggu lalu.

“Ia kemenangan besar. Ia tidak begitu bergaya atau cantik tetapi dengan kedudukan kami dalam liga, kami tahu ia perlu dilakukan dengan pragmatik,” kata Gerrard.

“Saya amat bangga dengan usaha ditunjukkan pemain. Dalam bola sepak, anda perlu mencari dan bertarung.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker