Perceraian pasangan bawah 30 tahun kian meningkat

KUALA LUMPUR: Kes pasangan berusia berusia 30 tahun ke bawah bercerai di negara ini untuk semua bangsa menunjukkan angka yang membimbangkan, antaranya berpunca daripada konflik dalam hubungan hingga memecah-belahkan institusi perkahwinan.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, pasangan berusia 20 tahun ke bawah yang bercerai pada 2019 adalah seramai

56,957 pasangan dan mencatatkan penurunan kepada 45,272 pasangan pada 2020.

Bagi mereka yang berusia 20 sehingga 24 tahun bercerai pada 2019, angka yang dicatatkan mengikut pecahan jantina adalah seramai 2.301 lelaki dan 4,613 perempuan.

Angka ini mencatatkan penurunan pada tahun 2020 di mana bilangan perceraian pasangan seusia 20 hingga 24 tahun ini menurun kepada 1,378 pasangan. Pecahan bagi kumpulan umur 20 hingga 24 tahun mengikut jantina pula mencatatkan seramai 2,058 lelaki dan 4,030 perempuan.

Manakala bagi pasangan yang seusia berumur 20 tahun ke bawah yang bercerai pula hanyalah 64 pasangan pada 2019, turut menurun kepada 61 pasangan pada 2020.

Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga (BKK) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Fauwaz Hasbullah, berkata kes perceraian sentiasa sahaja menunjukkan meningkat daripada tahun ke tahun.

Katanya, ia kerana konflik dalam hubungan rumah tangga menyebabkan perpecahan dan ketidaksepaduan antara keluarga yang terbabit.

“Kehidupan berkeluarga bermula daripada sebuah perkahwinan yang sah mengikut undang-undang.

“Kelangsungan sesebuah perkahwinan amat bergantung kepada persediaan mental, fizikal, emosi dan spiritual suami dan isteri.

“Justeru, penting bagi pengurusan dan sistem kekeluargaan yang mapan kerana corak kehidupan sebuah keluarga mampu mempengaruhi corak kehidupan sebuah masyarakat.

“Perkahwinan bukan sekadar sebagai ikatan yang sah antara lelaki dan wanita kerana ia perlu disertai dengan tanggung jawab, komitmen serta ilmu berkaitan perkahwinan dalam melayari kehidupan berumah tangga,” katanya pada Forum Konsultatif Pemantapan Perkahwinan 2022 anjuran LPPKN secara dalam talian, baru-baru ini.

Tingkatkan ilmu atasi konflik keluarga

Justeru, LPPKN mengambil inisiatif menganjurkan Forum Konsultatif Pemantapan Perkahwinan 2022 bertujuan memberi pengetahuan dan kemahiran kepada pasangan mengenai alam perkahwinan bagi membentuk keluarga sejahtera dan berdaya tahan.

Katanya, ia juga sebagai platform perkongsian input dan pengalaman agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada perspektif agama Islam, Buddha, Hindu dan Kristian yang melaksanakan program pengukuhan perkahwinan dan pemantapan keluarga.

“Ia juga sebagai usaha LPPKN menggalakkan pembabitan masyarakat khususnya pasangan muda bagi menyertai program, kursus praperkahwinan dan pendidikan kekeluargaan.

“Selain meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam menghadapi konflik hubungan suami isteri, membina komitmen bersama serta berkasih sayang supaya berkekalan hingga akhir hayat,” katanya.

Beliau berkata, panel jemputan terdiri daripada LPPKN, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan NGO yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.

Katanya, mereka berkongsi mengenai pengalaman, tips, dasar, data, pendaftaran dan pembubaran perkahwinan bagi pasangan bukan Islam, kursus wajib perkahwinan bagi pasangan Islam serta modul perkahwinan dan kekeluargaan dijalankan.

Fauwaz berkata, menyifatkan forum itu sebagai pengisian program mengimarahkan sambutan Bulan Keluarga Malaysia yang disambut setiap tahun sepanjang November.

Katanya, pelbagai pengisian program dilaksanakan oleh LPPKN di peringkat ibu pejabat dan negeri bagi meraikan sambutan Bulan Keluarga Malaysia 2022.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker