Atlet kacukan dipertimbang wakili negara ke Olimpik 2024

KUALA LUMPUR: Atlet berdarah kacukan yang berpangkalan di luar negara dan dilihat berpotensi menjadi pesaing di peringkat dunia kemungkinan besar akan dipertimbangkan untuk mewakili kontinjen Malaysia pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Program ‘Gold Paris 2024’, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa berkenaan, semalam.

“Jawatankuasa akan mengambil pendekatan terbuka dalam kemungkinan mengenalpasti atlet berpengkalan di luar negara yang mempunyai pertalian keluarga dan asal usul dari Malaysia dan mempunyai prestasi terkini selaku pesaing di peringkat dunia,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Jawatankuasa yang ditubuhkan bagi memantau perlaksanaan program penyediaan atlet ke Sukan Olimpik 2024 itu turut dibarisi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli dan bekas jaguh badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei dengan beberapa lagi ahli akan dilantik kelak.

Norza, berkata jawatankuasa turut membuat keputusan untuk memperketatkan kriteria pemilihan dengan memberi tumpuan khusus kepada jenis sukan, acara dan atlet yang berupaya menjelmakan kilauan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Antara kriteria dibincangkan untuk pemilihan atlet menyertai Program ‘Gold Paris 2024′ ialah mereka yang pernah memenangi pingat di Tokyo 2020 dan masih menduduki kelompok ranking 10 terbaik dunia.

“Pencapaian mereka yang memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel dan Sukan Asia turut menjadi asas pemilihan serta memiliki prestasi terkini yang meyakinkan,’ katanya.

Dalam pada itu, Norza memberitahu kumpulan atlet yang terpilih akan disediakan perkhidmatan sokongan terbaik daripada aspek kejurulatihan, program latihan dan pendedahan pertandingan peringkat antarabangsa serta pelbagai perkhidmatan sokongan lainnya termasuklah sokongan sains, teknologi dan perubatan sukan.

“MSN juga diminta untuk melihat potensi menggunakan kepakaran teknikal yang dapat mengembelingkan program latihan dan perkhidmatan sokongan terbaik termasuklah dalam aspek “performance lifestyle” bagi memastikan setiap atlet yang terpilih dapat mempamerkan prestasi terbaik dengan semangat juang yang tinggi ke arah mencapai matlamat ditetapkan.

“Pada masa sama, jawatankuasa akan turut memberi tumpuan kepada perkembangan dan keberkesanan beberapa projek penyelidikan khususnya yang diterajui ISN yang bermatlamat membantu mempertingkat prestasi atlet dalam Program ‘Gold Paris 2024’ itu,” katanya.

Sejak Malaysia mula menyertai Sukan Olimpik pada 1956, kontinjen negara masih belum berjaya memenangi emas dengan pencapaian terbaik adalah membawa pulang empat perak dan satu gangsa pada edisi 2016 di Rio de Janeiro.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker