Lewandowski terus temui jaringan

BARCELONA: Robert Lewandowski meledak dua kali ketika Barcelona menewaskan Elche yang bermain 10 orang, 3-0 untuk berada di persada La Liga awal pagi tadi.

Penyerang Poland itu meneruskan prestasi sensasinya sejak menyertai kelab itu dari Bayern Munich pada musim panas dengan menjaringkan 11 gol dalam lapan penampilan membabitkan semua kejohanan.

Real Madrid masih memegang rekod kemenangan 100 peratus selepas lima perlawanan tetapi akan berdepan pencabar dari bandar yang sama, Atletico Madrid hari ini.

Dan perlawanan awal pagi tadi memberikan peluang buat Barcelona menggantikan juara bertahan itu dan mereka berjaya melakukannya.

“Kami akan tidur sebagai pendahulu buat pertama kali dalam dua tahun,” kata jurulatih Barca, Xavi Hernandez. “Kami berjaya melakukan kerja rumah dan mendapatkan tiga mata. Kami berada di landasan sebenar.”

Xavi menggilirkan pemain di tengah selepas kekalahan dalam Liga Juara-Juara kepada Bayern Munich awal pagi Rabu lalu dengan Frenkie de Jong dan Franck Kessie beraksi manakala Memphis Depay diberikan peluang memulakan aksi di bahagian serangan.

Lewandowski memecah kebuntuan menerusi gol pada minit ke-34.

Pedri menghantar bola ke kiri buat Alejanrdo Balde dan pertahanan remaja itu melintangkan bola buat penyerang veteran itu yang mudah menyambungnya ke gawang.

“Kami tahu dia boleh menjaringkan gol dan mendatangkan perbezaan, tapi personaliti dimilikinya mengejutkan saya,” kata Xavi.

“Dia ada sifat merendah diri, komitmen, kemahuan tinggi. Dia bekerja keras.”

Memphis menggandakan kelebihan menerusi sepakan kencang melepasi Edgar Badia dan Pedri menambah jaringan ketiga sebelum tamat babak pertama tetapi dibatalkan kerana ofsaid.

Bagaimanapun Barcelona hanya perlu menunggu tiga setengah minit apabila Lewandowski menyambar bola yang terlepas seterusnya menyukarkan Elche untuk bangkit.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker