Nak sangat wajah putik melepak, terimalah akibatnya…

BANYAK produk kosmetik memancing pengguna dengan memberi jaminan pencerahan kulit muka segera, misalnya ‘putih melepak’ dan kulit tampil berseri seawal tiga hari penggunaannya.

Disebabkan terlalu ghairah untuk kelihatan cantik dan cerah dalam masa singkat, ramai pengguna khususnya wanita terpedaya, malah ada tidak ambil pusing mengenai bahaya penggunaan kosmetik mengandungi bahan terlarang terutama merkuri dan hidrokuinon.

Profesor Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Lai Oi Ming, berkata merkuri atau turut dikenali sebagai raksa adalah antara bahan terlarang kerap digunakan dalam produk kosmetik.



Jelasnya, merkuri adalah logam berat yang boleh didapati sama ada dalam bentuk organik atau bukan organik.

“Merkuri ini sangat toksik, ia tak dibenarkan langsung dalam produk kosmetik kecuali dalam situasi tertentu. Misalnya, merkuri daripada sumber organik, thimerosal digunakan sebagai bahan pengawet untuk produk ubat titis mata.

“Bagaimanapun, biasanya di negara seperti Afrika dan Asia Tenggara, ramai wanita merasakan lebih cantik jika kulit muka mereka lebih cerah, jadi mereka akan pilih produk yang ada ejen pemutih.

“Merkuri ini bila disapu ke permukaan wajah, ia boleh merencatkan pembentukan melanin, sekali gus menjadikan kulit kelihatan lebih cerah,” katanya.



Merkuri boleh menggantikan kuprum yang diperlukan dalam aktiviti enzim tirosinase dan menyebabkan kesan pencerahan pada kulit.

Merkuri mudaratkan kesihatan

Dr Oi Ming berkata, penggunaan produk pencerah mengandungi merkuri boleh memudaratkan kesihatan kerana sifatnya yang meresap terus ke dalam kulit dan cara pengeluarannya menggunakan terapi pengkelat (chelation therapy).



“Perlu ingat, merkuri adalah logam berat, jadi ia akan berada terus di dalam badan, misalnya pada rambut dan kuku. Krim pemutih jika digunakan selama bertahun, kesannya, kandungan merkuri dalam badan akan bertambah.

“Jangka masa untuk mendapat komplikasi penyakit serius pula bergantung kepada faktor tertentu, salah satunya jika dos merkuri dimasukkan dalam produk itu tinggi dan berapa lama ia digunakan.

“Contohnya, walaupun krim pemutih itu baru digunakan tetapi dos merkurinya tinggi akan nampak sedikit kesan pada kadar segera. Misalnya, ada perubahan tona muka, ruam dan parut,” katanya.

Kegagalan buah pinggang, berisiko maut



Justeru, pengguna perlu lebih peka, jika produk digunakan memberi kesan terlalu cepat dan berkesan, besar kemungkinan ia mengandungi bahan terlarang seperti merkuri.

“Jika kandungan merkuri dalam badan sangat tinggi, ia boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, sistem saraf dan juga boleh membawa maut.

“Komplikasi paling kerap adalah kegagalan buah pinggang kerana bahan terlarang ini akan berkumpul di bahagian itu, selain kerosakan sistem saraf.

“Kalau lihat ada simptom seperti tangan bergetar, cepat lupa, mudah marah, tangan atau kaki kebas dan psikosis…ini juga antara tanda memang ada ketoksikan merkuri,” katanya



Buat pemeriksaan darah

Bagi pengguna yang menggunakan produk sedemikian, beliau berkata, pemeriksaan lanjut perlu dilakukan bagi mengenal pasti tahap merkuri dalam badan.

“Perlu jumpa doktor dan hentikan terus menggunakan produk berkenaan. Ada kajian menunjukkan, pengguna yang berhenti (guna produk) boleh sembuh semula jika buah pinggangnya tidak mengalami kerosakan serius.



“Disarankan mereka buat pemeriksaan darah dan air kencing untuk lihat kandungan merkuri di dalamnya. Jika keputusannya adalah tinggi, sahlah ia kesan daripada produk dipakai,” katanya.

Bahan hidrokuinon

Beliau turut menyentuh bahaya penggunaan satu lagi bahan aktif yang sering digunakan dalam produk kosmetik, iaitu hidrokuinon.

“Hidrokuinon juga mempunyai fungsi hampir sama iaitu boleh mencerahkan kulit, walaupun merkuri sebenarnya lebih berbahaya.

“Memang ada produk yang menggunakan bahan ini, tetapi ia hanya boleh dimasukkan dalam jumlah tertentu mengikut nasihat doktor. Bagaimanapun, sememangnya ada produk mengandungi hidrokuinon dalam dos tinggi, kesan pada peringkat awal nampak semakin cerah, namun disebabkan (dos) berlebihan akan bertambah pula pigmentasinya,” katanya.

Oleh itu, pengguna khususnya wanita supaya lebih berwaspada ketika memilih produk kecantikan supaya tidak berdepan risiko kesihatan di kemudian hari.

“Jarang pengusaha (kosmetik) memasukkan label jika mengandungi merkuri, ini taktik biasa bagi jualan produk terlarang. Jadi saya sarankan jika nak beli sesuatu produk, carilah daripada jenama yang dipercayai.

“Boleh semak melalui sistem Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pencarian produk berdaftar.” katanya.

Vitamin C dan B3 untuk cerahkan kulit

Sebagai langkah alternatif, gunakanlah produk mengandungi bahan seperti vitamin C dan vitamin B3, ia lebih selamat untuk cerahkan kulit dan kurangkan pigmentasi.

“Produk semula jadi juga tidak memberikan kesan sepantas produk mengandungi merkuri,” katanya.

Bahaya merkuri dalam produk kosmetik

1. Boleh diserap masuk ke dalam badan

2. Menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf

3. Mengganggu perkembangan otak anak kecil

4. Mengganggu otak bayi belum dilahirkan

5. Menyebabkan ruam

6. Iritasi dan perubahan lain pada kulit

* Semak status notifikasi produk kosmetik sebelum beli.

* Laman web www.npra.gov.my

* Aplikasi ‘NPRA Product Status’ (muat turun Google Play Store,

Apple App Store dan Huawei Appallery).

*Sumber Kementerian Kesihatan*

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button