Mengapa minyak masak bersubsidi Malaysia diseludup

BACHOK: Bekalan minyak masak bersubsidi Malaysia di Golok, pekan terkenal di selatan Thailand, dikatakan tidak pernah terputus, selain senang diperoleh terutama di pasar negara berkenaan.

Media baru-baru ini melaporkan, harga barang keperluan asas yang menerima suntikan subsidi oleh Kerajaan Malaysia dan dijual di negara kita pada harga RM2.50 bagi peket 1 kilogram (kg), dijual RM6.80 hingga RM7 sepeket di Golok, sedikit mahal berbanding RM5.80 hingga RM6 sebelumnya.

Malah, penduduk mendakwa boleh dikatakan hampir setiap rumah di pekan Golok mempunyai bekalan minyak bersubsidi Malaysia memandangkan harganya jauh lebih murah berbanding minyak masak negara itu.

Perkara itu diakui Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam, hari ini.

Katanya, permintaan tinggi dan perbezaan harga yang ketara antara penyumbang utama ketirisan minyak masak subsidi Malaysia ke Thailand.

Beliau berkata, pihak terbabit mengambil kesempatan mengaut untung berlebihan dengan menyeludup barang keperluan asas itu ke negara jiran.

Sehubungan itu, katanya, satu perbincangan khusus dengan semua agensi penguatkuasaan sudah diadakan kelmarin bagi membincangkan masalah ketirisan minyak masak dan menyelaras tindakan untuk mengurangkan kegiatan penyeludupan dengan setiap agensi akan memainkan peranan masing-masing.

“Adalah tidak adil apabila subsidi yang dikeluarkan Malaysia diseleweng dan dinikmati rakyat negara lain,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang pembungkusan minyak di Beris Kubor Besar, di sini.

Pada masa sama, Azman berkata, pihaknya mengenal pasti peringkat mana yang menyumbang kepada ketirisan.

“Untuk minyak subsidi, kita ada 22 pengilang, 305 pembungkus berlesen, 4,151 syarikat pemborong dan lebih 30,000 peruncit. Jadi, setiap peringkat ini ada mempunyai peluang yang mendorong kepada ketirisan dan sebab itu, kita akan buat pemeriksaan di semua peringkat bagi mengesan perbuatan itu.

“Selain kawalan sempadan, kita turut beri tumpuan supaya minyak subsidi tidak diberi kepada pihak tidak sepatutnya seperti industri besar,” katanya menegaskan pihak terbabit ketirisan minyak masak bersubsidi akan digantung lesen dan kuota selain disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram 2001.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker