Tapak baharu emas, tembaga ditemukan di Madinah

Riyadh: Arab Saudi mengumumkan penemuan baharu tapak galian emas dan bijih tembaga di Madinah, pada Khamis.

Penemuan bijih emas itu berada dalam sempadan Aba al-Raha, di wilayah Madinah, kata Pemantauan Geologi Arab Saudi dalam catatan media sosial.

Sementara itu, bijih tembaga ditemui di empat tapak di kawasan al-Madiq, juga di Madinah.



Al Arabiya News melaporkan, penemuan baharu itu dijangka menarik pelabur tempatan dan antarabangsa dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Laman web itu melaporkan, ia mempunyai saiz pelaburan yang dijangkakan sebanyak AS$533 juta (kira-kira RM2.4 bilion) dan dijangka menjana sekitar 4,000 pekerjaan.

Perlombongan adalah satu daripada sektor yang dikenal pasti untuk pengembangan ekonomi sebagai sebahagian daripada matlamat Wawasan 2030 yang diilhamkan oleh Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman.

Pada Jun, apabila Putera Mahkota Saudi mengumumkan keutamaan negara untuk sektor penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan mampan sektor perlombongan yang berkembang pesat turut menjadi titik tumpuan.



Pada Mei, Kementerian Perindustrian dan Sumber Mineral Arab Saudi menggariskan rancangan untuk menarik AS$32 bilion (kira-kira RM145 bilion) pelaburan ke dalam sektor perlombongan.

Sasaran kementerian akan membiayai sembilan projek perlombongan untuk mineral dan logam.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button