12 rumah kedai di Kampung Cina terbakar

KUALA TERENGGANU: Pendawaian elektrik yang banyak dipercayai punca menyebabkan usaha memadamkan kebakaran membabitkan 12 rumah kedai sederet di Jalan Bandar, Kampung Cina, di sini, malam tadi, sukar dilakukan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Khairiri Arshad, berkata pegawai bertugas di bilik gerakan menerima panggilan kebakaran jam 8.42 malam daripada orang awam bagi memaklumkan kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya sebelum menerima panggilan itu, pihaknya sudah tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat awal daripada orang awam yang datang ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota, di sini, kira-kira 300 meter dari lokasi kejadian.



“Sepasukan anggota balai berkenaan bersama sebuah jentera yang tiba di lokasi mendapati, ketika itu lima rumah kedai sudah terbakar 100 peratus.

“Keadaan cuaca berangin menyebabkan kebakaran cepat merebak selain struktur bangunan di mana bahagian atas kedai setingkat ini sepenuhnya diperbuat daripada kayu,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam tadi.

Beliau yang mengetuai operasi itu berkata, seramai 70 anggota termasuk 10 pegawai dan tujuh jentera bomba dari BBP Jalan Kota, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang selain bantuan bomba sukarela, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) terbabit dalam operasi pemadaman itu.

Menurutnya, pendawaian elektrik yang banyak antara punca pihaknya sukar melakukan pemadaman segera meskipun ada anggota tiba awal di lokasi kejadian.



“Kerja pemadaman terpaksa dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak kemalangan kerana ketika itu masih terdapat arus elektrik pada pendawaian di lokasi kejadian,” katanya.

Mohd Khairi berkata, 12 rumah kedai itu antaranya membabitkan kedai kain, kedai jahit dan pakaian, kedai membuat kunci, kedai makan dan rumah penginapan.

Katanya, insiden itu tidak membabitkan kemalangan jiwa dan pihak bomba mengambil masa 45 minit bagi mengawal api daripada merebak.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.



Pemilik Kedai Emas Seri Cahaya, Mohd Ridzuan Mohd Yasin, 39, berkata dia mengetahui mengenai kejadian itu pada 8.20 malam setelah dimaklumkan oleh rakannya.

“Ketika sampai api dah marak, saya lihat bahagian atas kedai saya sudah terbakar dan hanya mampu berserah serta berdoa agar api dapat dipadamkan dengan segera,” katanya.

Mohd Ridzuan berkata, 90 peratus struktur kedainya terbakar dan nilai barangan dalam kedainya dianggarkan sebanyak kira-kira RM2 juta membabitkan barangan kemas termasuk yang ditempah pelanggan, emas tongkol dan peralatan serta mesin berkaitan pertukangan emas.

“Saya tidak pasti sama ada barang lemas berkenaan masih elok atau sudah rosak. Saya belum dapat memastikan jumlah kerugian sebenar yang dialami akibat daripada kejadian ini,” katanya.



Dia yang tinggal di Kampung Hiliran, di sini, berkata, kedai berkenaan adalah milik keluarga yang diusahakan ibunya sebelum mengambil alih kira-kira 12 tahun lalu.

“Kalau diikutkan keluarga mengusahakan perniagaan emas ini sejak 25 tahun lalu. Kebakaran di Kampung Cina ini adalah kali kedua berlaku tetapi ketika itu tidak membabitkan kedai saya,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button