Arsenal kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris

LONDON: Arsenal kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas jaringan William Saliba, Gabriel Jesus dan Fabio Vieira memberikan kemenangan 3-0 ke atas Brentford.

Kecederaan kapten Martin Odegaard dan Oleksandr Zinchenko memberi peluang kepada pemain 15 tahun, Ethan Nwaneri masuk sebagai pemain gantian dan menjadi pemain termuda dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Bagaimanapun The Gunners langsung tidak terjejas dengan ketiadaan beberapa tonggaknya di halaman yang menyaksikan mereka pernah tewas 2-0 musim lalu.

Skuad kendalian Mikel Arteta kini kembali memintas Manchester City dan Tottenham untuk terus menerajui liga dengan kelebihan satu mata.

Arsenal bangkit daripada kekalahan pertama musim ini di tangan Manchester United dua minggu lalu dengan aksi meyakinkan.

Gabriel Martinelli berpeluang membuka jaringan seawal dua minit hasil gerakan Granit Xhaka, namun tersasar.

Selang 15 minit, Saliba memastikan bola sepakan sudut Bukayo Saka ditanduk tepat untuk membolosi gawang Brentford.

Jesus turut menggunakan kepalanya bagi gol kedua dan keempatnya dalam tujuh perlawanan Liga Perdana Inggeris sejak berpindah dari Mancheser City.

Saka turut mempunyai peluang menambah jaringan namun gagal menyempurnakan lorongan Fabio Vieira.

Ketiadaan Odegaard turut memberi ruang buat Vieira memulakan perlawanan Liga Perdana Inggeris pertamanya dan pemain tengah Portugal itu membuktikan kemampuannya dengan rembatan padu dari luar kotak penalti untuk gol ketiga Arsenal.

Nwaneri, yang berusia 15 tahun 181 hari, mengatasi rekod Harvey Elliott sebagai pemain termuda liga itu ketika dia tampil untuk Fulham pada usia 16 tahun.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker