Bintang muda Arsenal dapat pujian Arteta

London: Mikel Arteta memuji Ethan Nwaneri selepas menjadikan pemain berusia 15 tahun itu sebagai pemain termuda yang beraksi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Nwaneri dibawa masuk pada masa kecederaan ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas Brentford hari ini sekali gus penampilan sulung bersama pasukan senior Gunners.

Dengan pemain tengah menyerang itu baru berusia 15 tahun 181 hari, bermakna dia mengatasi rekod yang dipegang Harvey Elliott sebelum ini.

Elliott berusia 16 tahun 30 hari ketika dia mencipta rekod sebagai pemain paling muda pernah diturunkan semasa di Fulham pada 2019.



Tetapi Nwaneri kini memenang rekod itu selepas dibawa masuk bersama Fabio Vieira di Stadium Komuniti Brentford.

“Kami mempunyai peluang untuk membawa masuk pemain muda. Ia adalah perasaan yang membanggakan. Saya bertemunya dan saya sangat menyukai aksinya.

“Dia berlatih dengan kami beberapa kali. Semalam, saya dapat rasakan jika ada peluang, saya akan memberi peluang kepadanya.

“Dia berhak mendapat peluang itu dan melakukan tugasnya dengan hebat. Seorang pemain berbakat besar yang kami mahu kekalkan,” katanya.



William Saliba menanduk masuk gol pembukaan Arsenal pada minit ke-17 hasil hantaran silang Bukayo Saka.

Satu lagi tandukan menerusi Gabriel Jesus 11 minit kemudian meletakkan Arsenal mendahului 2-0 apabila penyerang Brazil itu melonjak tinggi bagi menyambut hantaran Grant Xhaka.

Brentford dilihat tidak mampu mencabar apabila empat minit selepas rehat, pemain tengah Portugal, Fabio Vieira merembat kencang dari luar kotak penalti untuk menjadikan kedudukan 3-0.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker