Dua juta rakyat Malaysia hidap asma

KUALA LUMPUR: Kira-kira dua juta rakyat negara ini menghidap penyakit asma dengan 90 peratus daripada mereka diklasifikasikan sebagai kes tidak terkawal dan berisiko tinggi untuk mengalami tahap kesihatan yang buruk serta jangka hayat pendek.

Malah, negara ini merekodkan kes maut akibat komplikasi asma sekitar empat angka saban tahun dengan kira-kira 1,700 kes dicatatkan pada 2014.

Angka itu mungkin dianggap kecil jika dibandingkan dengan punca kematian lain, namun menurut pakar, kebanyakan kes kematian akibat asma boleh dielak jika penghidap mendapat rawatan awal dan sewajarnya.

Kesedaran masyarakat terhadap ancaman pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) kronik boleh dikatakan semakin meningkat, namun menurut pakar, rata-rata masih menganggap asma sebagai penyakit “biasa” yang tidak memerlukan rawatan segera.



Hakikatnya, penghidap penyakit asma tidak terkawal dan tidak mendapatkan rawatan sewajarnya berisiko menemui ajal.

Di negara ini,

Pakar perubatan berpandangan langkah proaktif perlu dilaksanakan segera bagi meningkatkan tahap kesihatan dan mengurangkan kadar kematian “tidak perlu” akibat penyakit asma.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Respiratori Hospital Perempuan Zainab II di Kota Bharu, Kelantan, Dr Mat Zuki Mat Jaeb, berkata pengelasan tepat adalah langkah pertama yang perlu diambil bagi merawat dan mengurus penyakit itu secara berkesan.



Beliau berkata, penyakit asma diklasifikasikan mengikut tiga tahap iaitu ringan, sederhana dan teruk dengan penilaian dibuat berdasarkan, antaranya, jenis dan dos ubat yang diperlukan oleh pesakit bagi mengawal asma.

“Tahap kesedaran orang ramai bahawa asma wujud dalam tiga tahap keterukan yang berbeza masih rendah. Setiap tahap memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza.

“Pesakit asma teruk memerlukan perhatian khas kerana mereka lebih cenderung mengalami serangan asma yang lebih kerap walaupun sudah mempunyai kemahiran menggunakan inhaler yang betul. Hal ini disebabkan oleh faktor lain yang menyumbang kepada keadaan asma teruk mereka, antaranya tahap sel darah putih dalam badan yang terlalu tinggi.

“Pesakit yang menghidap asma teruk bukan sahaja terpaksa berdepan dengan masalah dan gangguan tidur setiap hari, malah keupayaan mereka untuk melakukan aktiviti harian juga terhad. Mereka turut dibebani kebergantungan terhadap ubat yang memberikan kelegaan segera seperti inhaler dan steroid oral (OCS) setiap hari dan untuk jangka panjang,” kata Dr Mat Zuki kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun berkata, penggunaan OCS untuk tempoh yang lama boleh membawa kepada pelbagai risiko kesihatan seperti kencing manis, penyakit tulang rapuh (osteoporosis), penyakit jantung dan peningkatan berat badan.

Berpendapat pesakit asma perlu mempunyai ilmu dan kesedaran kendiri mengenai penyakit mereka, Dr Mat Zuki berkata ketiadaan dua perkara itu boleh mengakibatkan pengurusan yang kurang efektif dalam kebanyakan kes asma, sekali gus menghalang peningkatan tahap kesihatan pesakit.

“Pakar mendapati ramai pesakit asma tidak cukup motivasi untuk mengawal penyakit mereka. Ada sesetengah pesakit yang menggunakan asma sebagai alasan untuk tidak melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam atau mengelak daripada pergi ke sekolah atau bekerja.

“Walaupun wujud sikap tidak ambil peduli dalam kalangan pesakit, masih penting untuk memperkasa pendidikan sebegini supaya mereka boleh terlibat lebih aktif dalam pengurusan penyakit. Pesakit perlu dibimbing untuk memahami tanda-tanda dan gejala asma bagi membantu mengenal pasti masa yang tepat untuk mendapatkan rawatan perubatan.

“Rawatan awal dan tepat, diikuti rawatan susulan yang kerap dan pematuhan kepada rawatan lanjutan adalah antara aspek penting dalam penjagaan asma yang baik,” tegasnya.

Beliau berkata, penyakit asma yang tidak diuruskan dengan baik boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit, terutamanya jika tidak dikesan lebih awal oleh doktor.

“Kebiasaannya asma boleh mengganggu tidur sehingga menyebabkan pesakit berasa letih dan lesu di siang hari. Ini boleh menjejaskan prestasi di tempat kerja dan kehadiran pelajar di sekolah, selain meningkatkan risiko kemalangan.

“Ini juga boleh menjejaskan ekonomi kerana produktiviti kerja yang terjejas dan kehilangan pendapatan, selain peningkatan kos penjagaan kesihatan untuk rawatan atau kemasukan ke hospital,” tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, pesakit asma di Malaysia berdepan cabaran untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat.

Katanya, biarpun pakar menyedari ada kemajuan dalam teknologi dan kemudahan diagnostik asma di Malaysia, kemudahan itu tidak diagihkan secara sama rata, sekali gus mengehadkan akses pesakit terhadap diagnosis yang komprehensif.

“Selain penambahbaikan akses kepada diagnosis, akses kepada rawatan dan ubat-ubatan terkini yang disyorkan juga perlu diperluas, terutama bagi mereka yang menghidap asma yang teruk,” katanya, menambah pesakit yang tinggal di luar bandar berdepan halangan dari segi kos dan jarak untuk mendapat rawatan perubatan yang baik.

Dalam usaha menambah baik rawatan penyakit asma teruk di Malaysia, Dr Mat Zuki mengetuai PRECISION Severe Asthma Working Group dengan kerjasama AstraZeneca Malaysia yang turut melibatkan pakar perubatan respiratori terkemuka dan ahli profesional kesihatan daripada institusi awam tempatan.

Kumpulan ini bakal menyiapkan satu rangka kerja bagi meningkatkan keupayaan diagnosis, pengurusan penyakit dan sistem rujukan pakar untuk penghidap asma teruk di seluruh negara.

Ia juga sedang berusaha mencapai kata sepakat dalam kalangan pakar tempatan bagi membimbing proses penubuhan klinik yang menyediakan rawatan khusus dan berkualiti untuk pesakit asma yang teruk.

Selain sebuah klinik khusus diwujudkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II bagi merawat kes asma yang teruk, satu kerjasama rapat juga sedang dijalankan dengan sebuah kumpulan merangkumi pakar perubatan respiratori; pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) serta pakar-pakar lain yang biasa merawat pesakit asma.

“Pesakit yang dirujuk kepada kami (di klinik berkenaan) termasuklah mereka yang dalam rawatan OCS jangka panjang, mereka yang pernah mendapatkan rawatan kecemasan di hospital dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat asma, serta mereka yang menggunakan tiga atau lebih inhaler pelega dalam tempoh setahun lalu,” jelasnya.

Sementara itu, berkongsi mengenai kerjasama berkenaan, Presiden Negara AstraZeneca Malaysia, Dr Sanjeev Panchal berkata Program PRECISION adalah satu inisiatif global, iaitu AstraZeneca bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak berkepentingan merentas sistem penjagaan kesihatan bagi membentuk dan membaiki hasil penjagaan kesihatan pesakit asma.

Di Malaysia, PRECISION Severe Asthma Working Group menumpukan usaha kepada mempercepat sistem rujukan kesihatan untuk membolehkan penyampaian penjagaan yang lebih berkesan, mengembangkan keupayaan membuat diagnosis tepat, meluaskan keupayaan merawat asma yang teruk dan meningkatkan kesedaran tentang asma teruk sebagai penyakit serius yang memerlukan lebih perhatian daripada penggubal dasar.

Memandangkan Malaysia antara destinasi utama pelancongan kesihatan di rantau Asia Pasifik, kemajuan ekosistem penjagaan kesihatan melalui fasiliti berkualiti tinggi, kelancaran proses untuk pesakit serta peningkatan dalam aspek kesediaan perkhidmatan yang berdedikasi untuk penyakit asma teruk, akan terus menaikkan nama Malaysia sebagai antara hab utama penjagaan asma.

“Oleh itu, dengan segala usaha kita untuk terus memantapkan semua fasiliti kesihatan yang diperlukan bagi merawat kes asma tidak mengira tahap akan membuatkan Malaysia terus dilihat sebagai destinasi pilihan yang dipercayai untuk pelancongan kesihatan dengan adanya ekosistem penjagaan kesihatan yang holistik,” ujar beliau.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker