Dibenar daftar walau belum bayar yuran – KPT

(Kementerian Pengajian Tinggi memberi kelonggaran kepada pelajar Universiti Malaya yang belum menjelaskan yuran semasa untuk mendaftar kursus dalam sesi pengajian baharu)

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sudah mengeluarkan arahan bahawa tiada halangan kepada mana-mana pelajar Universiti Malaya (UM) untuk memulakan sesi pengajian meskipun tidak menjelaskan yuran semasa.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar berkata, kementerian sentiasa prihatin dengan situasi pelajar yang terkesan terutamanya bagi mereka yang datang dari keluarga berpendapatan rendah (B40).



“KPT benarkan pelajar yang kesempitan untuk mendaftar agar boleh meneruskan pengajian, sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia yang bermatlamat menjaga kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara.

“Tiada halangan untuk pelajar membayar yuran secara ansuran sebelum tamat pengajian melalui permohonan kepada Bursary mengikut prosedur yang ditetapkan universiti,” katanya dalam satu laporan media, baru-baru ini.

Terdahulu, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menolak dasar baharu digunakan pihak pengurusan UM yang tidak membenarkan pelajar mendaftar kursus sebelum menjelaskan yuran masing-masing.

Difahamkan, dasar baharu itu dipercayai mewajibkan pelajar membuat pembayaran penuh yuran pengajian untuk mendapatkan status sebagai pelajar aktif.



Sekiranya gagal berbuat demikian, seseorang pelajar tidak boleh mendaftar subjek dan modul mereka pada semester baharu menyebabkan pelajar berkenaan gagal menerima akses termasuk tidak dibenarkan menghadiri kelas pengajian.

Dalam pada itu, Husaini menegaskan bahawa pelajar masih perlu menjelaskan yuran pengajian yang tertangguh terlebih dahulu bagi tujuan graduasi.

“Kita berharap dengan kelonggaran yang diberi secara konsisten dari semasa ke semasa di semua peringkat dapat meringankan beban pelajar yang terlibat.

“Inisiatif sebegini diharap dapat membantu golongan pelajar memperoleh kerjaya yang baik selepas tamat pengajian nanti,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker