Hajat skuad muda negara di Mongolia tak kesampaian



KUALA LUMPUR: Impian skuad bawah 19 (B-19) tahun negara untuk meraih slot automatik ke Piala Asia B-20 tahun depan lebur selepas tewas 2-6 kepada pasukan pilihan, Korea Selatan di Mongolia, sebentar tadi.

Keputusan itu juga sekali gus menyaksikan Korea Selatan mengesahkan slot ke Piala Asia B-20 di Uzbekistan tahun depan selaku juara Kumpulan E, manakala Malaysia yang muncul naib juara kumpulan perlu menunggu keputusan kumpulan lain untuk melihat sama ada layak atau sebaliknya.

Hanya juara kumpulan akan layak secara automatik dan lima naib juara terbaik dari 10 kumpulan akan mendapat slot ke pusingan akhir Piala Asia B-20 2023.

Pada aksi terakhir Kumpulan E yang berlangsung di Stadium MFF, Ulaanbatar itu, gawang skuad kendalian Hassan Sazali Waras Selatan bocor pada minit ke-34 menerusi penyudah Lee Youngjun.



Lima minit selepas bersambung babak kedua, Korea Selatan mengukuhkan kedudukan hasil jaringan Bae Junho yang bijak memperdaya pemain Malaysia sebelum merembat ke penjuru kiri pintu gol.

Malaysia berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-55 menerusi Adam Farhan Faizal dengan dia menjadi pemain pertama berjaya merobek gawang Korea Selatan sepanjang kempen kelayakan kali ini.

Bagaimanapun, kedudukan itu hanya bertahan kira-kira seminit apabila rembatan kapten Korea Selatan, Lee Seungwon berjaya menewaskan penjaga gol, Syahmi Adib Haikal buat kali ketiga.

Tindakan Ubaidullah Shamsul yang dilihat cuba membantah keputusan penjaga garisan memberikan sepakan sudut kepada Korea Selatan pada minit ke-67 mengundang padah apabila dia dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.



Malaysia merapatkan jurang pada minit ke-68 menerusi Aliff Izwan Yuslan sebelum Youngjun kembali menjarakkan kedudukan buat Korea Selatan apabila meledak gol keempat pasukannya pada minit ke-74.

Youngjun melengkapkan hatrik pada minit ke-81 sebelum Seungwon menyudahkan sepakan penalti ketika permainan berbaki dua minit untuk mengesahkan kemenangan bergaya Korea Selatan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker