Hani Fadzil akan digandingkan dengan Miss Universe jadi hos Asian TV Awards



KUALA LUMPUR – Segalanya bagaikan mimpi buat pengacara Hani Fadzil, 31, apabila satu-satunya hos mewakili Malaysia dipilih mengendalikan acara berprestij, Asian TV Awards 2022 yang berlangsung di Manila, Filipina, pada 1 Disember depan.

Lebih membanggakan, Hani atau nama sebenarnya Intan Farhani Mohd Fadzil diberi penghormatan bergandingan bersama lima hos popular dari Filipina, Singapura dan Thailand.

Hani berkata, dia tidak pernah terfikir bakal mencipta sejarah apabila mengendalikan anugerah berprestij antarabangsa seperti Asian TV Awards.

“Saya tak pernah bermimpi bakal menggalas tanggungjawab sebagai hos utama acara berprestij di luar negara.



“Saya fikir hanya terpilih menjadi hos karpet merah atau penyampai trofi mewakili Malaysia apabila syarikat pengurusan, iaitu Rocket Fuel Entertainment menawarkan peluang ini, awal tahun ini.

“Saya terima kerana peluang depan mata tidak seharusnya dilepaskan. Beberapa bulan lalu, pihak pengurusan mengesahkan saya akan hadir Asian TV Awards di Manila, tetapi tak terfikir sebagai hos utama,” katanya kepada BH Online.

Dua minggu lalu, Hani berkata, dia dijemput menjayakan majlis pengumuman hos menerusi Instagram (IG) Live.

“Syarikat pengurusan bertanya sama ada saya boleh mengosongkan jadual kerana perlu menghadiri majlis pengumuman hos untuk acara berkenaan.



“Mulanya, saya pelik juga kenapa perlu hadir ke majlis pengumuman hos, kemudian baru saya terfikir kemungkinan diberikan tugas sebagai hos.

“Menerusi IG Live itu, nama saya diumumkan bergandingan dengan hos dari Thailand, S Kantapong Bumrungrak dan pada hari yang sama, penganjur memuat naik gambar saya bersama lima hos lain yang bakal mengendalikan acara berprestij yang dinantikan karyawan seni itu.

“Ketika itu juga baru saya sedar tanggungjawab ini bukan kecil. Apatah lagi, saya juga bergandingan Miss Universe 2018, Catriona Gray,” katanya.

Kata Hani, dia memang terkejut apabila diberitahu bakal berkongsi pentas dengan Catriona dan pelakon popular Filipina, Piolo Jose Pascual.



“Saya suka tengok drama Filipina, sejak dahulu. Namun, saya tak sangka bakal bergandingan dengan salah seorang hos yang juga pelakon saya kenali.

“Jika diikutkan, ramai hos di Malaysia yang popular dan berbakat besar. Tetapi, mungkin sudah rezeki saya dipilih mewakili Malaysia bersama nama besar dari negara Asia,” katanya.

Tambah Hani, pemilihan itu satu pencapaian besar sepanjang bergelar pengacara kerana ia juga peluang mengembangkan bakat di pentas antarabangsa.

“Ini julung kali saya mengendalikan acara berprestij di luar negara. Sebelum ini, saya pernah mengacarakan program K-Pop World Festival yang lebih cenderung kepada muzik K-Pop, namun, ia untuk tontonan seluruh Asia,” katanya.



Tidak mampu mengetepikan perasaan gementar, Hani berkata, dia berjanji akan membuat persediaan awal dan sebaiknya supaya perjalanan acara berjalan lancar.

“Dalam berdebar, saya juga teruja kerana tidak menyangka dapat menggalas tanggungjawab sebagai hos.

“Jadi, saya kena betul-betul bersedia kerana saya mewakili negara.

“Banyak persediaan perlu dilakukan kerana saya banyak berehat disebabkan penularan COVID-19 selama dua tahun. Kemudian, saya dikurniakan cahaya mata, jadi lebih fokus kepada keluarga.

“Dalam tempoh dua tahun saya tidak banyak terbabit dengan acara. Jadi, ini boleh dikatakan sebagai comeback.

“Saya harap peluang ini akan menjadi pembuka jalan kepada lebih tawaran pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Selain Hani, lima hos utama bakal mengendalikan Asian TV Awards 2022 adalah Miss Universe 2018, Catriona Gray dari Filipina, Enchong Dee (hos Filipina), Piolo Jose Pascual (pelakon Filipina), S Kantapong Bumrungrak (pelakon Thailand) dan Wallace Ang (hos, pelakon dan penyanyi Singapura).

Asian TV Awards mengiktiraf program televisyen dan filem terbaik dari Asia. Ia diadakan sejak 1996 dan menjadi acara tahunan penting industri hiburan rantau Asia.

© Berita Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker